Polis tumpaskan sindiket penyeludupan, 75 PATI ditahan - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket penyeludupan, 75 PATI ditahan

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam serbuan berasingan di Bandar Baru Segari, Manjung semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menahan seramai 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua individu dipercayai bertindak sebagai transporter dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Baru Segari, di sini semalam.

Operasi menerusi Op Taring Landai itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Unit Risikan Marin Kampung Acheh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai transporter dan seorang lagi lelaki warganegara sama yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan.

Katanya, turut ditahan ialah 43 lelaki dan 24 wanita warga Indonesia, selain seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dari negara sama.

“Dalam serbuan itu juga kita berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh. Keseluruhan tangkapan berjumlah 75 orang berusia antara tujuh hingga 57 tahun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan PATI diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau talian WhatsApp 017-682 8005,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN