Projek tebatan banjir selamatkan lebih 35,000 penduduk - Utusan Malaysia

Projek tebatan banjir selamatkan lebih 35,000 penduduk

K. RAVEN Kumar menjawab soalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Projek tebatan banjir di Sungai Batu Pahat bakal menyelamatkan lebih 35,000 penduduk yang tinggal di lembangan sungai yang terdedah dengan risiko banjir akibat limpahan air parit utama dan sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan pada 2023 hingga 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM190 juta.

Menurutnya, projek berkenaan merupakan salah satu daripada penyelesaian jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir di daerah berkenaan.

“Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Batu Pahat telah dimasukkan dalam permohonan Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan dana khas sejumlah RM190 juta kepada Unit Perancang Ekonomi bagi penyelesaian jangka masa panjang. Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk membaik pulih tebing sungai yang telah rosak, menaik taraf benteng sungai yang rendah mengakibatkan air dari parit utama sepanjang sungai tersebut melimpah dan mengurangkan kejadian banjir kilat berlaku semasa air pasang yang bertembung dengan kejadian hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) tentang status pembinaan benteng untuk rancangan tebatan banjir di Sungai Batu Pahat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Raven Kumar berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, pihaknya telah memulakan pembinaan benteng di pintu air Kampung Parit Lapis dengan kos RM161,798 bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Taman Damai 2 dan sekitarnya.

“Untuk tahun ini, penyelesaian jangka pendek akan diteruskan dengan melaksanakan kerja pemuliharaan sungai di Taman Batu Pahat, Jalan Pantai, Jalan Masjid, Parit Johar, Parit Sri Molek dan Kampung Muhibbah, Batu Pahat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.07 juta oleh kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan sedang merancang untuk membina ‘Mangrove Discovery Centre’ di Tanjung Piai dan sebuah ‘Mangrove Research Centre’ di Pulau Kukup.

Perancangan itu bertujuan untuk menaik taraf pelbagai fasiliti awam di kedua-dua kawasan berkenaan, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini.

“Kedua-dua pusat berkenaan akan dilengkapi kemudahan awam seperti tandas, gerai cenderamata kafeteria, surau, hotel dan ruang rehat bagi pelawat yang datang ke Tanjung Piai dan Pulau Kukup,” katanya menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) berhubung perancangan membangunkan kawasan bebas cukai di Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN