70 saintis keluarkan amaran dunia semakin panas - Utusan Malaysia

70 saintis keluarkan amaran dunia semakin panas

SEORANG pelancong menggunakan payung ketika cuaca panas melampau di Rom. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia dijangka mencecah paras kritikal 1.5 darjah Celsius menjelang 2030, menyebabkan sasaran utama Perjanjian Iklim Paris semakin sukar dicapai, menurut sekumpulan saintis antarabangsa.

Amaran itu dikeluarkan lebih 70 saintis, termasuk penyumbang kepada Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (IPCC), menerusi kajian tahunan yang diterbitkan dalam jurnal Earth System Science Data.

Kajian itu mendapati suhu global pada 2025 mencapai kira-kira 1.39 darjah Celsius, Ia melebihi paras era pra-industri, dengan hampir keseluruhan peningkatan itu, iaitu 1.37 darjah Celsius, berpunca daripada aktiviti manusia.

Negara-negara dunia bersetuju berdasarkan Perjanjian Iklim Paris 2015 yang mengehadkan peningkatan suhu glo­bal kepada jauh di bawah 2 darjah Celsius. Ia sebaik-baiknya tidak melebihi 1.5 darjah Celsius bagi mengelakkan kesan paling buruk akibat perubahan iklim.

Menurut kajian itu, bumi sedang mengumpul haba pada kadar yang semakin pantas. Secara tidak langsung, ia memburukkan ketidakseimbangan tenaga bumi, iaitu perbezaan antara jumlah tenaga yang ma­suk dan keluar daripada sistem planet ini.

Ketua penulis kajian, Piers Forster berkata, ketidakseimbangan itu terus meningkat sejak 1970-an dan kini berada pada paras tertinggi pernah direkodkan.

Kajian itu menjelaskan, kadar pemanasan tinggi didorong gabungan pelepasan gas rumah hijau yang mencapai rekod ter­tinggi dan pengurangan pencemaran aerosol yang sebelum ini membantu menyejukkan bumi.

Walaupun kadar peningkatan pelepasan semakin perlahan, saintis memberi amaran bahawa ‘bajet karbon’ dunia bagi mengekalkan pemanasan glo­bal di bawah 1.5 darjah Celsius mungkin habis dalam tempoh kira-kira tiga tahun lagi.

Saintis iklim dari Perkhidmatan Meteorologi Perancis, Aurelien Ribes berkata, sasaran mengehadkan pemanasan glo­bal di bawah 1.5 darjah Celsius kini semakin sukar dicapai.

“Memandangkan pelepasan gas rumah hijau masih te­rus meningkat, usaha untuk mengekalkan pemanasan global di bawah ambang 1.5 darjah Celsius kini dilihat sukar dicapai,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN