PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan dijalankan secara berasingan dengan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos depan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harunmenerusi menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 dan Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 di Menara SPR hari ini.
Beliau berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala hari pengundian awal pada 7 Julai.
Menurutnya, bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan PRN kali ini bakal menjadi pilihan raya ke-16 bagi negeri itu.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran sehari sebelum itu.
Pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UTUSAN










