Projek ECRL beri banyak manfaat kepada rakyat - Ismail Sabri

Projek ECRL beri banyak manfaat kepada rakyat – Ismail Sabri

PROJEK ECRL bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dan manfaat kepada negara.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan negara.

Katanya, manfaat itu boleh dilihat menerusi penyediaan 20 buah stesen yang menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam.

Tambahnya, ia turut dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di Terminal Bersepadu Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kelantan kepada empat jam berbanding tujuh hingga 12 jam ketika musim perayaan.

“Dari segi tambang, saya meminta Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan serta mesra rakyat,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Malah, kata Ismail Sabri, projek ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan berkemahiran tinggi melalui program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

“Demi memelihara persekitaran dan alam sekitar, kira-kira 128 kilometer jajaran ECRL akan melibatkan penyediaan jambatan atau jajaran bertingkat bagi mengelak gangguan kepada hidupan liar serta risiko banjir di musim tengkujuh,” katanya.

Projek ECRL bakal beroperasi pada bulan Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Pengorekan Terowong Berkembar Genting ECRL dijangka selesai dalam tempoh antara dua ke tiga tahun, menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.