Pertukaran kerusi sesama komponen perkara biasa - MCA - Utusan Malaysia

Pertukaran kerusi sesama komponen perkara biasa – MCA

WEE Ka Siong (tiga dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Ayer Hitam di Yong Peng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: MCA tidak berdepan masalah sekiranya perlu melakukan perubahan dari segi pengagihan kerusi dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tidak ada kesalahan untuk mana-mana individu atau parti yang berhasrat untuk bertanding di kerusi tertentu, namun atas prinsip kebersamaan keputusan akhir yang diperoleh kelak akan diterima semua pihak.

“Ini perkara biasa, kita hanya boleh memuktamadkan (calon) sebelum watikah dikeluarkan. Masing-masing yang perjuangkan itu perkara biasa dalam politik tapi apa yang penting semangat musyawarah yang akhirnya kita peroleh satu keputusan didukung bersama.

“Kita sudah lama dalam politik, tunjuk kematangan bersama-sama melalui perbincangan tetapi yang penting setelah keputusan dibuat parti-parti dalam BN akan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Ayer Hitam, di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, MCA negeri memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calon mereka di kerusi tradisi seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Pemanis dan Pulai Sebatang.

Tambah Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan, semangat muafakat yang diketengahkan dalam BN itu sudah terbukti dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan sebelum ini.

“Kita pun tak pernah bincang melalui media, itu bukan cara kita, saya tak pernah sebut dalam  media kerusi mana kita nak, kita nak tukar. Itu perundingan secara dalaman, secara adik-beradik.

“Dalam konteks perkongsian kuasa politik kita ada track record lama. Kita faham sangat konsep musyawarah, perbincangan dan keadaan harmoni kerana yang penting jaga kestabilan politik demi bawa kemakmuran kepada negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas rayuan beliau untuk ‘Top 5’ UMNO turut berbincang dengan parti komponen berkaitan tarikh PRU15, Ka Siong berkata, cadangan tersebut bagi memastikan kemenangan secara mutlak berpihak kepada BN.

“Kita faham penentuan tarikh ada proses, Perdana Menteri ada kuasa setelah bincang dengan Top 5 UMNO, tetapi apa salahnya berbincang dengan komponen. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun kata nak buat begitu, ini cara baik untuk sentiasa berunding demi kebaikan bersama.

“Agenda perbincangan itu hanya untuk tentukan tarikh sahaja, tapi saya rasa dari segi persiapan dan hal-hal lain mungkin akan turut disentuh kerana itu perkara biasa dalam mana-mana pertemuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya