PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan KK Mart bagi mendigitalkan pembayaran gaji pekerja asing di seluruh negara, sekali gus memperluas akses kewangan dalam sektor peruncitan.
Inisiatif itu memberi pilihan pembayaran gaji lebih inklusif, khususnya kepada golongan tanpa akaun bank.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, kerjasama itu bertujuan menangani cabaran sebenar yang dihadapi komuniti tanpa akses perbankan.
“Ramai dalam kalangan komuniti ini, termasuk pekerja asing, berdepan kekangan untuk membuka akaun bank atau menerima gaji secara selamat.
“Melalui pembayaran gaji menggunakan TNG eWallet, kami memberi mereka kawalan kewangan, keselamatan dan kemudahan.
“Kami berbangga menyokong KK Mart dalam memenuhi keperluan sebenar di lapangan, bermula dengan aspek asas iaitu menerima gaji. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi langkah ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Sejak diluluskan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada Ogos 2024, TNG eWallet menjadi antara penyelesaian pembayaran gaji yang diiktiraf untuk pekerja yang berdepan kekangan membuka akaun bank.
Kini, lebih 160,000 pekerja asing menerima gaji terus ke dalam akaun TNG eWallet dengan jumlah agihan mencecah RM4.8 bilion pada 2025.
KK Mart antara rangkaian peruncitan utama terawal yang melaksanakan pembayaran gaji melalui e-dompet secara berskala besar.
Melalui integrasi itu, syarikat meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kebergantungan kepada tunai serta memudahkan urusan pentadbiran, di samping memberi akses segera dan selamat kepada pekerja untuk mengurus pendapatan mereka.
Pekerja boleh menerima gaji secara masa nyata, membuat pembayaran, pemindahan wang serta menggunakan perkhidmatan seperti perbankan melalui nombor akaun DuitNow tanpa memerlukan akaun bank tradisional.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan berkata, penggunaan TNG eWallet membantu memastikan pekerja dibayar secara konsisten, selamat dan tepat pada masanya.
“Dengan menggunakan TNG eWallet, kami menghapuskan halangan yang dihadapi pekerja asing dalam sistem perbankan tradisional dan memastikan mereka dibayar secara konsisten, selamat dan tepat pada masanya.
“Kami bangga menjadi peneraju dalam sektor peruncitan untuk memperluas akses kewangan yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan,” katanya.
Selain pembayaran gaji, TNG eWallet turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan digital termasuk transaksi global, akses ATM melalui kad Touch ‘n Go eWallet Visa, kiriman wang dan tambah nilai mudah alih.
Bagi memastikan pelaksanaan lancar, pasukan sumber manusia KK Mart menjalani latihan khusus, manakala TNG Digital menyediakan sokongan di lokasi untuk proses pendaftaran pekerja.
Kerjasama itu mencerminkan peranan inovasi digital dalam memperkukuh daya tahan tenaga kerja serta merapatkan jurang keterangkuman kewangan di Malaysia. – UTUSAN










