Penentuan harga maksimum ayam, telur ayam dilanjutkan hingga 30 Jun - Utusan Malaysia

Penentuan harga maksimum ayam, telur ayam dilanjutkan hingga 30 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kabinet semalam bersetuju supaya harga maksimum runcit ayam standard, ayam super dan telur ayam menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelanjutan tempoh itu bertujuan memastikan Keluarga Malaysia bersedia dengan perubahan harga apabila penentuan harga tersebut berakhir pada hujung bulan ini.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan pemberian bantuan untuk golongan sasar berpendapatan rendah termasuk kadar dan mekanisme penyaluran bantuan bagi menangani kenaikan harga barang apabila penentuan harga maksimum ayam dan telur tamat pada 30 Jun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Alexander, penentuan harga yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu sepatutnya berakhir Ahad ini dengan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung ditetapkan pada kadar RM8.90 bagi sekilogram (kg) ayam bulat standard, ayam bulat super (RM9.90/kg), telur ayam gred A (43 sen/biji), telur ayam gred B (41 sen/biji) dan telur ayam gred C (39 sen/biji).

Katanya, bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, Harga Maksimum Ayam dan Telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Dalam pada itu beliau berkata, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan terus meningkatkan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara untuk menentukan bekalan sentiasa stabil dan tiada pencatutan berlaku di pasaran.

Alexander turut mengingatkan kepada komuniti peniaga supaya sentiasa beretika dalam menjalankan perniagaan dan tidak mencatut untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

“Kerajaan juga ingin menyeru agar semua pengguna untuk menggunakan kuasa beli mereka dalam membeli mengikut keperluan dan berbelanja secara berhemah. Pelaksanaan penentuan harga ini akan berkesan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing termasuk dengan cara menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya