Penduduk Taman Suntex tuntut janji, mana penghadang bunyi?

Penduduk Taman Suntex tuntut janji, mana penghadang bunyi?

ABDUL Halin Mohd. Taharim (dua dari kanan) diiringi Muhammad Yunus Marulah melihat jejantas MRT yang dibina di hadapan kediaman mereka di Kampung Sungai Raya, Hulu Langat, Selangor, semalam. – FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Kira-kira 300 penduduk di Jalan Bunga Raya 3, Taman Suntex, di sini mendakwa hidup tidak selesa selepas berdepan masalah pencemaran bunyi dan mengalami gegaran berpunca daripada pergerakan koc Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang melalui kawasan itu.

Landasan MRT itu dibina kurang 100 meter dari kawasan perumahan berkenaan, malah pihak pengurusan MRT dikatakan gagal menyediakan penghadang bunyi ataupun sound barrier yang dijanjikan sejak awal pembinaan projek iaitu 2011.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Abdul Halin Mohd. Taharim, 61, ba­nyak aduan dibuat bagi menuntut penghadang bunyi itu namun tidak diendahkan.

“Sudah tidak terkira jumlah aduan yang kami buat. Kami pernah mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan MRT itu dan mereka tidak menafikan permasalahan ini namun sejak ia siap dibina hingga kini, belum ada penyediaan penghadang bunyi terbabit.

“Pihak mereka juga mengatakan operator akan perlahankan tren apabila melalui kawasan kami. Kami berterima kasih atas usaha itu tetapi mengapa mereka tidak mahu mengambil jalan penyelesaian yang dijanjikan. Jika daripada awal pembinaan sudah dicadangkan pembinaan penghadang bunyi maka sudah tentu dananya ada,” katanya ketika di­temui semalam.

Menurut Abdul Halin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Langat, Edry Faizal Eddy Yusof pernah berkampung beberapa hari di kawasan perumahan itu bagi menjalankan ujian bunyi dan gegaran.

Katanya, hasil kedua-dua ujian itu mendapati ia tidak mematuhi kehendak syarat-syarat Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling.

Pada 1 Julai 2021, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan arahan kepada pihak MRT untuk memberi surat maklum balas selepas mendapati ada pencemaran bunyi di kawasan itu hasil daripada ujian yang dijalankan.

Bagaimanapun selepas hampir setahun, MRT Corp belum mengambil tindakan.

Sementara itu, seorang pesara guru, Muhammad Yunus Marulah, 71, berkata, pihak terlibat memberi pelbagai alasan berhu­bung permasalahan itu.

“Awalnya, kami tidak membuat sebarang bantahan kerana menganggap perkara itu baik untuk pembangunan negara tetapi kini mereka gagal menepati janji,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN