ALOR SETAR: Penceramah bebas, Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli menarik balik kenyataannya berhubung perpindahan roh dari jasad ke jasad atau reinkarnasi setelah menerima kritikan dan kecaman hebat.
Muhd. Zainul Asri dari Padang Terap berkata, beliau memohon maaf kerana mencetuskan polemik serta keresahan umat Islam di Malaysia berhubung kenyataan itu dengan memberi alasan sekadar meminjam kata-kata itu daripada gurunya yang sudah meninggal dunia.
“Mengenai kenyataan saya tentang perpindahan roh dari jasad ke jasad, saya tarik balik kenyataan itu. Dengan lafaz Sayyidina Muhammad sebenarnya saya pun tak tahu, bukan lafaz saya.
“Saya ambil daripada guru saya,” katanya dalam laman Facebook miliknya, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli.
Dalam video berdurasi empat minit itu, Muhd. Zainul Asri turut memohon maaf di atas kenyataan tersebut yang dianggap meresahkan umat Islam.
“Saya minta maaf kepada umat Islam di Malaysia yang mengikuti polemik ini. Saya minta maaf kerana meresahkan umat Islam. Tak usah panjang-panjang lah, saya tarik balik kata saya itu bukan kalam saya,” katanya.
Pengakuan dan permohonan maaf penceramah bebas berkenaan tampil setelah tular video dan komen orang ramai mengenainya beberapa hari lepas berkaitan roh manusia boleh berpindah dari satu jasad ke jasad lain.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai kritikan dan kecaman kerana ia jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini menyenaraikan antara ciri-ciri ajaran sesat yang merosakkan akidah umat Islam yang merupakan amalan, upacara dan adat bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mendakwa orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup.
Perkara itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang menjelaskan bahawa reinkarnasi itu adalah kepercayaan karut dan khurafat. – UTUSAN










