PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya satu pelan jangka panjang diwujudkan bertujuan mengukuhkan sekuriti makanan dan jaminan kos sara hidup.
Seri Paduka bertitah, rakyat juga diseru memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat-cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.
Al-Sultan Abdullah kemudian menasihatkan semua pihak agar tidak mewujudkan bibit pertikaian setiap kali negara berdepan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup.
“Kita semua harus fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat. Sikap ‘bila sudah merah, kapur salahkan kunyit dan kunyit salahkan kapur’, ini tidak akan dapat membantu dan membela nasib rakyat beta yang terhimpit dengan pelbagai dugaan,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Pada sama sama, Yang di-Pertuan Agong berharap kerajaan dan pemimpin di setiap lapisan menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat termasuk kos sara hidup yang tinggi di samping peningkatan komoditi industri dan makanan.
Seri Paduka bertitah, krisis sekuriti makanan perlu ditangani dengan segera terutama dalam keadaan dunia yang menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan termasukl program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia.
“Beta menaruh harapan yang tinggi agar program ini akan dapat mencapai sasarannya untuk menghapuskan miskin tegar menjelang tahun 2025,” titah Seri Paduka Baginda. – UTUSAN










