Bekas pengasuh Qaseh Aulia dijel 5 tahun bermula hari ini

Bekas pengasuh Qaseh Aulia dijel 5 tahun bermula hari ini

MULYATI Kalim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan bertindak cuai sehingga menyebabkan kematian bayi perempuan, Qaseh Aulia, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pengasuh Qaseh Aulia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana cuai sehingga membawa kematian bayi perempuan itu, tiga tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mulyati Kalim, 54, yang juga warga Indonesia.

Hukuman pemenjaraan itu ditetapkan selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh juga perlu menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.

Mahkamah turut memerintahkan Mulyati untuk menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan 26 hari, telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematian di sebuah taska di Kota Damansara pada pukul 9.36 pagi, 10 Oktober 2023.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Mulyati diwakili peguam, Badrul Munir Bukhari memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan selain tanpa pemenjaraan atas alasan ia kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kejadian yang meragut nyawa mangsa itu berpunca daripada kecuaian tertuduh sendiri.

Dalam prosiding sama, pihak pembelaan turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan sebelum dibantah pihak pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut selepas berpendapat cadangan untuk memfailkan rayuan bukan justifikasi bagi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 311 Akta Tatacara Jenayah.

Alasan dikemukakan pembelaan juga dilihat bukan keadaan istimewa atau khas, selain isu tafsiran perkataan ‘pemeliharaan’ dan ‘kecuaian’ di bawah Akta Kanak-kanak 2001 bergantung kepada fakta setiap kes.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN