SEGAMAT: Demi masa depan seorang pelajar tingkatan satu, Muhammad Raeez Ramadhan Mohd. Zulkiflee sanggup berulang-alik ke sekolah setiap hari walaupun menghidap penyakit jantung berlubang yang memerlukan pembedahan segera.
Keluarga Muhammad Raeez, 13, masih bertungkus-lumus mencari sumber kewangan bagi mencukupkan kos pembedahan berjumlah RM65,000 di Institut Jantung Negara (IJN).
Lebih membimbangkan, doktor memberitahu saiz lubang di jantung pelajar kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh itu kini sebesar syiling 50 sen dan dikhuatiri akan semakin membesar jika pembedahan tidak dilakukan segera.
Ibunya, Norizan Marsandi, 46, berkata, Muhammad Raeez akan cepat penat selain kuku dan bibirnya selalu biru, malah pihak hospital sebelum ini memasukkan alat pada leher untuk bantuan pernafasan serta mencabut 12 batang giginya pada 2015 untuk tujuan pembedahan.
“Saya risau dengan keadaan anak sekiranya pembedahan lambat dilakukan. Kalau boleh saya mahu dia mendapat rawatan pembedahan segera kerana keadaannya semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu.
“Dia kini mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Kos pembedahan sebelum ini hanya RM15,000 tetapi kini sudah mencecah RM65,000,” katanya yang tinggal di Kampung Paya Lang, Batu Anam, di sini.
Norizan berkata, kos untuk pembedahan Muhammad Raeez yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu terlalu tinggi dan dan mereka tidak mampu membiayainya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Norizan iaitu 01078020381310 atau menghubunginya di talian 011-3554 2726. – UTUSAN










