JERANTUT: Pasangan bisu, Jamasul Zahfar Mohamad Mustafar, 56, dan isterinya, Norihan Yaakob, 48, resah memikirkan nasib mereka yang sehingga kini tidak mempunyai tempat tinggal tetap di Kampung Mat Kilau Satu, di sini.
Jamasul Zahfar berharap kerajaan dapat membantu membina rumah baharu di tapak tanah milik keluarganya di kampung itu untuk dia dan isterinya berteduh sehingga akhir hayat.
Berkongsi masalahnya kepada Utusan Malaysia menerusi tulisan, dia menjelaskan, mereka kini menumpang sebuah rumah milik adiknya yang bekerja di tempat lain dan membenarkan tinggal di situ buat sementara waktu.
Dia sangat berharap kerajaan negeri membantunya membina rumah kerana tidak mampu dari segi kewangan lantaran tiada kerja tetap.
“Saya melakukan pelbagai kerja seperti tukang kebun dan mengambil upah kerja kampung yang cuma memperoleh pendapatan kecil,” tulisnya ketika ditemui semalam.
Menurut Jamasul Zahfar, mana mungkin dia mampu menyediakan sejumlah wang untuk membeli peralatan membina rumah dalam keadaan pendapatannya tidak seberapa.
“Saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 yang hanya mencukupi untuk keperluan barang dapur dan bayaran bil,” katanya.- UTUSAN










