KANGAR: Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin disaran supaya fokus kepada pemerkasaan parti sendiri terlebih dahulu daripada ‘sibuk’ menasihati UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kenyataan Khairil Nizam supaya Ahli MKT menasihati Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah tidak berasas sama sekali.
Katanya, hal demikian kerana, segala keputusan yang dibuat oleh UMNO termasuk dalam soal mengadakan PRU15 adalah hasil perbincangan bersama MKT secara kolektif, malah disambut baik oleh Perdana Menteri.
Malah katanya, Perdana Menteri juga memberi jaminan tidak akan lewat walaupun sesaat apabila sudah tiba masanya diadakan PRU15.
“Nasihat saya, fokus kepada pemerkasaan parti sendiri (Pas) terlebih dahulu, janganlah adu domba atau cuba memecahkanbelahkan kami. Kami (UMNO) kukuh dan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi PRU15.
“Dalam soal PRU15 khususnya, kami di peringkat MKT UMNO sentiasa berbincang dan mengambil pandangan semua pihak termasuk membabitkan parti-parti komponen secara kolektif seterusnya membuat keputusan secara bersama,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa UMNO mahu pilihan raya umum segera kerana ada kaitan dengan kes mahkamah beberapa pemimpinnya sebagai keterlaluan.
Katanya, kenyataan Sanusi itu juga seolah-olah menghina dan mempunyai sangkaan buruk terhadap mahkamah kononnya apabila UMNO menang kes pemimpinnya akan digugurkan.
Soal Fathul Bari, kenapa Pas takut jika PRU15 berlangsung dalam tempoh terdekat sehingga sanggup membuat tuduhan sembrono seperti itu.
“Mungkin Sanusi juga takut kehilangan jawatan apabila pilihan segera diadakan. Sepatutnya redakan situasi ini dan beri peluang kepada Perdana Menteri membuat keputusan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Muhammad Sanudi yang juga Menteri Besar Kedah mendakwa, Ahmad Zahid bertegas mahu mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana takut dipenjarakan.
“Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat. Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu,” kata Sanusi. – UTUSAN