Meja pintar atasi beg sekolah berat - Utusan Malaysia

Meja pintar atasi beg sekolah berat

MOHAMMAD Sabarullah Shaik Ismail (kanan) dan Timelow Jauk (dua dari kanan) melihat kerja-kerja pemasangan SnET 2.0 di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Jalan Tengah, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 214 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Jalan Tengah di sini, menjadi kumpulan pelajar pertama menggunakan inovasi meja dan ruang simpanan sekali gus mengatasi masalah beg sekolah berat seperti yang menjadi ru­ngutan ibu bapa sebelum ini.

Dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0, inovasi meja dan ruang simpanan buku itu dibangunkan sendiri guru besar sekolah berkenaan, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail dan mula digunakan pelajar minggu depan.

Mohammad Sabarullah berkata, selain mengatasi isu masalah beg sekolah berat, inovasi itu mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dalam kalangan murid.

Katanya, kerja-kerja pemasa­ngan meja yang lengkap de­ngan laci simpanan buku teks dan tempat meletak beg serta kelengkapan menulis bagi fasa pertama kini selesai dan sedia untuk digunakan.

Buat permulaan katanya, penggunaan meja inovasi itu dikhususkan untuk murid tahun enam yang hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk menamatkan sesi persekolahan tahun ini.

“Inovasi SnET ini mampu me­ningkatkan keyakinan dan ke­seronokan murid hadir ke sekolah selain mengatasi isu beg berat iaitu dari tujuh hingga 10 kilogram (kg) sebelum ini, kini hanya tinggal 2.5kg setiap murid.

“Ini dapat dilihat menerusi keberhasilannya di peringkat awal dengan penggunaan sebanyak 32 buah meja yang sudah diguna pakai di sebuah kelas sesi pagi dan petang menerusi sumbangan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, reka bentuk meja dan kerusi serba guna itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda (SMKRTU) serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Sementara itu, Pengarah IKM Sungai Petani, Timelow Jauk memberitahu, kerjasama dalam menghasilkan SnET 2.0 dengan penglibatan seramai 30 pelajar institusi itu adalah pendedahan yang sangat baik.

“Kita berasa bangga melihat hasil kerja yang dipamerkan pelajar semester empat program Diploma Pengeluaran Perabot. Mereka tekun menyiapkan kerja-kerja pemotongan papan dalam tempoh hanya seminggu.

“Kami di IKM (Sungai Petani) bukan sahaja mempunyai tenaga pengajar yang bertaraf profesional, malah lengkap dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya