‘Mana kami nak pergi?’

‘Mana kami nak pergi?’

YUSUF Mohamad termenung di rumahnya yang ditanda dengan cat merah yang akan dirobohkan di Kampung Baru, Bukit Malut, Langkawi, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk Bukit Malut yang sudah mula menerima notis untuk mengosongkan penempatan mereka sejak dua minggu lalu kini tertanya-tanya arah tuju setelah beberapa buah rumah dirobohkan semalam.

Rata-rata mereka yang ditemui semalam berada dalam keadaan bingung apabila tiada tempat untuk berteduh sekiranya tidak dapat lagi bertahan untuk menduduki kawasan itu yang tanahnya dimiliki Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Penduduk di situ juga masih menanti perkembangan daripada kerajaan mengenai cadangan yang diutarakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya membina 1,200 buah rumah baharu secara tersusun untuk memindahkan mereka.

Mereka yang dilihat akur dan menerima tindakan tersebut memaklumkan, tetap cuba mencari jalan penyelesaian menang-menang dengan mengharapkan masih ada belas ihsan pihak terlibat.

Seorang penduduk, Yusuf Mohamad, 31, berkata, dia semakin resah apabila rumah jirannya yang hanya berjarak 30 meter sudah dirobohkan PKB dan kini notis supaya rumahnya juga dikosongkan dalam tempoh tiga bulan sudah diterima.

“Saya baru sahaja keluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) sebelum Aidilfitri lalu bagi menyiapkan rumah yang dibina sedikit demi sedikit. Bukan kecil jumlahnya kerana saya dan isteri masing-masing gunakan RM10,000 itu.

“Namun, kegembiraan kami menduduki rumah yang makin selesa ini tidak berpanjangan kerana kami kini semakin resah apabila notis sudah dikeluarkan dan sebahagian rumah juga sudah dirobohkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Bukit Malut di sini.

KEADAAN sebuah rumah yang tidak berpenghuni selepas dirobohkan oleh PKB ketika tinjauan dilakukan di Kampung Baru, Bukit Malut, Langkawi, Kedah.

Semalam, PKB mula bertindak terhadap pencerobohan tanah miliknya di Bukit Malut, dengan merobohkan 41 buah rumah yang dibina secara haram di atas tanah berkeluasan 16.19 hektar.

Daripada jumlah tersebut, tujuh buah rumah yang tidak berpenghuni dan sedang dalam proses pembinaan dirobohkan sepenuhnya, manakala baki rumah yang masih diduduki penduduk dalam proses perbincangan.

Seorang lagi penduduk, Khalid Mohamad Salleh, 41, berkata, mereka tidak tahu apa langkah seterusnya daripada pihak kerajaan selepas tempoh pengosongan berakhir kelak memandangkan tidak memiliki rumah lain untuk diduduki.

“Saya hanya berniaga kedai gunting rambut secara kecil-kecilan di kampung ini, jadi pendapatannya tidak menentu. Kalau nak bina rumah di tempat lain pun perlukan modal dan hendak menyewa pun bukan senang.

“Malah, rumah yang saya bina secara sedikit demi sedikit ini mengambil masa lama untuk siap. Bila ada modal tambah sikit bahagian dapur atau siapkan bahagian siling. Tapi bila jadi begini saya sudah tidak mahu ambil risiko lagi untuk keluarkan duit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya