Mimpi anak jadi kenyataan, bapa lemas ketika dulang emas

Mimpi anak jadi kenyataan, bapa lemas ketika dulang emas

NUR Shafiqa Hani Mohd. Zuki menunjukkan gambar arwah suaminya yang lemas semasa mendulang emas di Sungai Ulu Galas, Pulai, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Mimpi seorang gadis mengenai bapanya lemas ketika mendulang emas menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemukan maut di Sungai Ulu Galas, Pulai di sini semalam.

Mangsa, Mohamad Tarmizi Darwis, 35, ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam sungai oleh rakannya kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi. 

Isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd. Zuki, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bermimpi bapanya lemas semasa mendulang emas di dalam sungai pada malam sebelum kejadian.

Katanya, suaminya keluar dari rumah seorang diri kira-kira pukul 6 petang semalam untuk mendulang emas meskipun sudah dinasihatkan supaya tidak pergi kerana waktu sudah lewat.

“Sebelum ini, kakak (anak sulung) ada mimpi Papa (bapa) lemas, malah mimpi itu berulang kali. Malam kelmarin pun dia mimpi perkara sama.

“Saya tidak menyangka mimpi itu jadi kenyataan. Selalunya saya ikut dia masuk hutan, tetapi semalam anak demam dan dia mahu pergi seorang. Saya melarang kerana sudah lewat tetapi dia tetap mahu pergi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Nur Shafiqa Hani berkata, dia menerima panggilan telefon kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi yang memaklumkan suaminya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sungai itu.

“Laluan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira satu setengah jam dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda kerana hujan lebat.

“Jenazah sampai di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 5 pagi tadi dan kini masih menunggu proses bedah siasat,” ujarnya.

Nur Shafiqa Hani berkata, suaminya bekerja sebagai pencari emas sejak lebih 16 tahun lalu dan disahkan menghidap penyakit sawan sejak 2017.

“Kami mempunyai lima anak berusia dalam lingkungan dua tahun hingga 15 tahun. Sebelum kejadian, suami dilihat agak tertekan memikirkan tanggungan keluarga. Dia ada luahkan rasa serabut sebab banyak komitmen perlu ditanggung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN