PUTRAJAYA: Malaysia dikenal pasti antara empat negara di dunia yang paling banyak menerima pelbagai jenis sampah-sarap diimport dari Kanada secara haram setiap tahun.
Perkara itu didedahkan pengasas RightOnCanada, Kathleen Ruff kepada portal berita terkenal, Politico, berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
“Sebahagian besar sisa pepejal berkenaan ialah skrap plastik dan kertas kotor serta bateri terpakai, sampah elektronik dan besi buruk,” kata pemimpin badan alam sekitar bebas tersebut.
Selain Malaysia, ujarnya, negara lain yang turut mendapat puluhan kontena berisi sampah itu dengan dihantar menerusi lebih 100 buah kapal dagang ialah Hong Kong, India dan Vietnam.
Ironinya, aktiviti haram berkenaan jelas beliau, sudah lama dikesan oleh kerajaan Kanada sejak 2017 dengan kesemua sampah sarap tersebut dianggarkan seberat lebih 2,300 tan metrik.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara maju itu hanya mengeluarkan surat amaran dan denda kepada syarikat perkapalan sebanyak C$400 (RM1,365) hingga C$2,000 (RM6,827) sahaja.
Hukuman yang dianggap terlalu rendah itu tegasnya, menjadi bahan jenaka di Kanada sendiri kerana ia memberi mesej salah bahawa negara tersebut tidak serius dalam isu berkenaan.
Difahamkan sejak lima tahun lepas, cuma 21 surat amaran dikeluarkan dan 23 notis denda diberikan kepada firma perkapalan terlibat atas kesalahan mengeksport produk tanpa permit.
Nama kesemua syarikat berkenaan tidak didedahkan kerana mereka bukan didakwa di mahkamah,” kata Ruff. – UTUSAN










