PRN Negeri Sembilan: Baru kembali menyertai UMNO, lebih sesuai membantu sebagai jentera - KJ

PRN Negeri Sembilan: Baru kembali menyertai UMNO, lebih sesuai membantu sebagai jentera – KJ

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar ketika merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui lebih selesa menjadi jentera kempen berbanding bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, dirinya lebih sesuai sebagai anggota jentera yang membantu kempen Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan memandangkan dia baru sahaja menyertai semula UMNO.

“Saya secara peribadi lebih suka menjadi jentera biasa untuk PRN Negeri Sembilan ini, bukan calon. Saya baru sahaja kembali menyertai UMNO, jadi saya rasa lebih sesuai membantu sebagai jentera.

“Saya boleh menyumbang melalui kempen dan ceramah. Kalau tidak dipilih sebagai calon, saya boleh membantu di beberapa kawasan untuk menyokong rakan-rakan serta calon-calon kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Seremban, di sini, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, soal pemilihan calon PRN Negeri Sembilan adalah hak pucuk pimpinan parti dan beliau tidak mahu mendahului sebarang keputusan.

“Keputusan berkaitan pemilihan calon adalah di bawah Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Jadi, kita jangan mendahului keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, tumpuannya kini adalah membantu BN menghadapi PRN Negeri Sembilan, manakala perbincangan mengenai peranannya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih terlalu awal.

“Saya mahu menyumbang sebagai sebahagian daripada jentera. Soal Parlimen masih lagi jauh dan saya rasa tahun depan barulah kita berdepan PRU. Jadi, terlalu awal untuk membuat spekulasi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan dua bekas pemimpin UMNO yang sebelum ini digantung dan dipecat, sah menyertai semula parti tanpa sebarang syarat hasil Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada April lalu.

Beliau sebelum ini menyandang Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN