Anwar persoal kenapa Kerajaan Johor lembab?

Anwar persoal kenapa Kerajaan Johor lembab?

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan negeri yang disifatkan lembab dalam membuat pembangunan di Johor.

Anwar berkata, kerajaan negeri perlu ditukar supaya pembangunan di negeri ini terutama dalam urusan membina kediaman rakyat dapat disegerakan.

“Saya nak tanya, mengapa Johor lembab dalam membangunkan rumah bagi rakyat? Sebab itu saya nak ada perubahan di Johor. Supaya tumpuan itu ke bawah,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar, Johor ke Depan di Dewan Restoran Seng Kee PTL di sini hari ini.

Anwar berkata, harga rumah di Johor melambung tinggi terutama di Johor Bahru menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran untuk membeli kediaman mereka.

“Sebab itu saya bandingkan dengan Kuala Lumpur, puluhan ribu rumah Madani sudah kita buat dan untuk anak muda juga ada rumah khas,” katanya.

Anwar berkata, sebanyak 80 peratus rakyat Malaysia menjamu selera di gerai dan warung kecil, lantas menunjukkan perlunya ia dinaik taraf bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

“Di Kuala Lumpur, ratusan gerai ditingkat taraf. Supaya ada standard yang bersih, hormat kepada orang bawah iaitu golongan pekerja serta berpendapatan rendah. Ini supaya rakyat dapat makan dalam keadaan yang lebih selesa.

“Sebab itu Johor ini di detik yang penting, ekonomi sedang meningkat dan kita nak supaya diagihkan dengan adil. Kita nak pastikan rumah rakyat, gerai, kemudahan asas dan mutu pendidikan diperbaiki,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong akan melancarkan sistem imigresen baharu yang ditambah baik bagi mengurangkan kesesakan di pintu sempadan.

“Sebab itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama Jabatan Imigresen akan memudahkan laluan ini dan bila siap sistem itu, insya-Allah termasuk perjalanan baharu dari Singapura ke Johor Bahru.

“Insya-Allah saya bersama Perdana Menteri Singapura akan lancarkan. Apabila sudah lengkap dan siap, mungkin kita sasarkan pada Januari, itu akan menyelesaikan banyak masalah, termasuk kelicinan sistem digital baru untuk imigresen,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan serius untuk menyelesaikan masalah kesesakan di pintu masuk antara Malaysia dan Singapura.

“Sebab anak-anak kita yang bekerja terpaksa beratur berjam-jam, mereka tidak boleh dibebankan, nak cari nafkah yang baik,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus meningkatkan jumlah peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi memastikan golongan belia tidak perlu berhijrah ke luar negara.

“Kita kena cari jalan seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), pusat data, teknologi moden dan baharu di Johor dan dalam Malaysia

“Supaya anak-anak kita boleh kerja di sini dan memperoleh pendapatan yang baik di Malaysia, tidak perlu menyeberang ke sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN