hapus orang tengah

LKIM bertindak beli ikan terus dari nelayan

LKIM akan memberi terus ikan daripada nelayan dalam usaha mewujudkan stok penimbang dan menghapuskan orang tengah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertindak segera membeli ikan terus daripada nelayan untuk dijadikan stok penimbal dalam usaha membantu menstabilkan harga dan mengimbangi bekalan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM7 juta diperuntukkan sebagai modal pusingan pembelian ikan tempatan sebanyak 1,000 matrik tan sebagai stok penimbal yang akan ditempatkan di 130 bilik sejuk beku di seluruh negara yang mampu memuatkan 1,500 matrik tan.

Dalam masa sama, berkuat kuasa serta-merta, pengguna boleh mendapatkan bekalan ikan segar beku yang dikenali QFish untuk lapan jenis ikan di 135 pasar nelayan LKIM, 103 outlet dan 222 ejen pada harga siling RM10 sekilogram.

Lapan jenis ikan itu ialah kembong, pelaling, selar, selayang, cencaru, aya kurik, selar (pelata) dan tongkol.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan peranan orang tengah yang dikatakan menindas golongan nelayan dengan menekan harga ekoran pasaran dikuasai kartel.

“Untuk langkah segera kita akan beli stok penimbal melalui program ikan QFish, LKIM akan beli terus daripada nelayan dan bekukan serta edarkan kepada pengguna pada musim tengkujuh pada harga murah.

“Program ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekuriti Makanan Negara yang bersidang pada minggu lepas dan bersetuju dengan cadangan LKIM,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mencadangkan supaya agensi berkenaan wajib membeli ikan secara terus daripada nelayan sekali gus melenyapkan peranan orang tengah yang menguasai pasaran dan menindas nelayan.

Akhbar ini sebelum itu melaporkan kira-kira 90,000 ne­layan kecil tempatan di se­luruh negara mengeluh ekoran nasib mereka tidak berubah sejak sekian lama dan mendakwa ditindas pemain industri gergasi dalam sektor perikanan.

Nelayan-nelayan kecil kira-kira 70,000 orang membabitkan nelayan Melayu itu mendakwa hasil laut mereka terpaksa dijual kepada orang tengah yang turut memiliki bot besar de­ngan harga rendah kerana mereka ‘tiada akses’ memasarkan hasil laut kepada pemborong.

Mengulas lanjut, Yusoff berkata, persatuan nelayan dan anak syarikat bertindak sebagai pembekal bagi stok penimbal dan rantaian pemasaran ikan QFish, manakala stok akan ditampung oleh syarikat swasta melalui kerjasama persatuan nelayan.

Beliau berkata, pemasaran akan dikembangkan melalui ejen QFish yang dilantik pembekal-pembekal di setiap kawasan berdasarkan kawasan Parlimen termasuk menggunakan medium pemasaran secara digital.

“Setiap 222 Parlimen akan diletakkan dua buah peti sejuk beku untuk menangani masalah kekurangan bekalan ikan.

“Untuk permulaan kita buat melalui anak syarikat dan persatuan nelayan sekali gus membantu golongan nelayan dan membantu semua rakyat.

“Ia demi kebaikan kedua-dua pihak, nelayan dan pengguna, nelayan akan dapat harga cantik, tiada lagi peranan orang tengah,” katanya.

Yusoff bagaimanapun memberitahu, para nelayan sebenarnya boleh menjual hasil tangkapan secara terus di 135 Pasar Nelayan tanpa melalui orang tengah.

Namun, katanya, mereka sendiri memilih untuk menjual kepada orang tengah sedangkan Pasar Nelayan bersedia membeli dengan kadar berpatutan.

“Sebelum ikan naik, sudah ada ‘orang’ tunggu dia. Nelayan boleh jual di pasar nelayan atau persatuan nelayan, masalah dia sendiri tak nak jual sedangkan dia membuat pinjaman dengan persatuan nelayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN