Lembah Klang catat kes terbanyak HFMD - Utusan Malaysia

Lembah Klang catat kes terbanyak HFMD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi negeri tertinggi mencatatkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) iaitu 562 kes bersamaan 32.2 peratus daripada 1,746 kes dilaporkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor pula berada pada kedudukan kedua iaitu 208 wabak bersamaan 11.9 peratus dan Sarawak, 206 wabak bersamaan 11.8 peratus.

Tahun ini katanya, bagi kes terkumpul sehingga 4 Jun lalu, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 23,305 kes bersamaan 28.13 peratus.

Katanya, ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 9,540 kes (11.52 peratus), Perak 8,032 kes (9.70 peratus), Kelantan 5,782 kes (6.98 peratus) dan Johor 5,234 kes (6.32 peratus) sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 4,600 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 74,841 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 6,520 kes (8 peratus) manakala selebihnya berusia lebih 12 tahun iaitu seramai 1,485 kes (2 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,059 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 605 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 56 wabak (3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, ketua jabatan dalam perkhidmatan awam diminta mengambil berat berkenaan cuti yang diberikan mengikut peruntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian S.R.5.4.4 (Kemudahan Cuti Kuarantin) yang ditambah baik dan berkuat kuasa pada 4 Mac lalu.

“Cuti menjaga anak diberikan kerajaan kepada penjawat awam iaitu ibu atau bapa atau penjaga kepada anak yang disahkan HFMD dan memerlukan pengasingan. Penyakit HFMD merupakan salah satu penyakit daripada tujuh penyakit yang diberikan kemudahan mengikut MyPPSM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN