JOHOR BAHRU: Penurunan had umur daripada 21 kepada 18 tahun bagi penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk p-hailing membolehkan golongan remaja terlibat dalam aktiviti ekonomi gig negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu juga bagi memenuhi permintaan pekerjaan sektor berkenaan yang berkembang pesat selari dengan perkembangan ekonomi gig di negara ini.
Beliau berkata, langkah menurunkan had umur bagi penunggang motosikal p-hailing adalah hasil kajian dibuat Bahagian Darat kementeriannya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kementerian sudah buat kajian melihat trend ekonomi gig terutamanya p-hailing yang menerima permintaan daripada golongan remaja, namun disebabkan sekatan had usia, mereka tidak dapat merebut peluang itu.
“Kita dapati ramai remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 18 tahun berminat nak jadi penunggang p-hailing, namun lesen vokasional hanya boleh dimohon mereka yang berusia 21 tahun ke atas.
“Sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan pantas sektor ekonomi gig termasuk di kampung-kampung, maka kerajaan merasakan sudah sampai masanya had umur p-hailing diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun,” katanya selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini hari ini.
Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju menurunkan had umur bagi penunggang motosikal yang membawa barangan, termasuk p-hailing daripada 21 kepada 18 tahun. – UTUSAN










