Lelaki pindah 100 ekor biri-biri guna dokumen palsu ditahan

Lelaki pindah 100 ekor biri-biri guna dokumen palsu ditahan

SEBUAH lori yang membawa biri-biri tanpa permit sah ditahan PGA semasa melalui SJR Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Taktik seorang lelaki menggunakan dokumen yang disyaki palsu untuk membawa 100 ekor biri-biri ke Johor gagal selepas lori dipandunya ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Neting, Pengkalan Kubor, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam, selepas anggota PGA mengesan sebuah lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di bahagian bekalang lori itu menemukan 100 ekor biri-biri.

Katanya, anggota bertugas kemudian meminta pemandu lori itu mengemukakan dokumen kebenaran memindahkan haiwan ternakan.

“Semakan mendapati nombor ‘seal’ pada lori tidak sepadan dengan yang tertera dalam dokumen dikemukakan.

“Keadaan itu menimbulkan syak wasangka dan kita percaya dokumen tersebut meragukan serta disyaki palsu dan semakan lanjut akan dilakukan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku kali pertama dia membawa muatan binatang ternakan sepanjang 20 tahun menjadi pemandu lori.

Katanya, biri-biri itu diambil di kawasan Kampung Kebun, Pengkalan Kubor.

“Suspek memberitahu, dia menerima upah RM250 untuk menghantar biri-biri tersebut ke Johor Bahru.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan telah dirujuk kepada JPV Kelantan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM270,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN