Maaf jika babak itu berikan perasaan kurang enak untuk diperlihatkan - Syamel - Utusan Malaysia

Maaf jika babak itu berikan perasaan kurang enak untuk diperlihatkan – Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel mengakui khilafnya selepas menerima teguran daripada netizen yang mendakwa dirinya menyentuh pempengaruh, Sharmaine Alexander dalam salah satu babak menerusi video muzik lagu berjudul, Pertama.

Menurut Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 33, perkara pertama yang dilakukannya selepas menerima hentaman sedemikian adalah menghubungi isterinya, Ernie Zakri bagi mendapatkan kepastian bersama, selain mahu menjaga perasaannya.

“Setiap video yang saya kongsikan telah mempunyai jadual. Apabila video itu dimuat naik, saya tidak sangka akan ada ramai orang meninggalkan komen berbaur teguran di situ.

“Perkara pertama yang saya lakukan adalah hubungi isteri saya untuk bertanya pandangannya dan teliti semula video tersebut bersama. Alhamdulillah, isteri saya okey sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Syamel, apa yang dipertontonkan menerusi video muzik itu hanyalah permainan kamera semata, malah dia juga cakna dengan sensitiviti semua pihak sebelum menjayakan babak tersebut.

“Selepas membaca komen-komen tersebut, saya pun tidak menegakkan sebarang perkara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Tetapi, apa yang dilihat itu segalanya hanyalah permainan kamera pihak produksi.

“Saya yang berada di tempat itu saya yakin bahawa tiada sebarang sentuhan yang berlaku. Saya turut hubungi Sharmaine untuk pastikan perkara itu tidak berlaku,” jelasnya.

Enggan perkara itu terus berlarutan, Syamel turut memohon maaf sekiranya babak tersebut menimbulkan rasa kurang senang terhadap segelintir pihak.

“Sebagai seorang yang matang dan berfikiran positif, saya ingin meminta maaf sebab kadang-kadang kita ini hanya mahu sajikan sesuatu pada peminat.

“Tetapi kalau ada yang cakap macam itu, saya harus berhati-hati dari segi sensitiviti mata mereka yang melihat. Saya minta maaf kalau babak itu memberikan satu perasaan yang tidak enak untuk diperlihatkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Syamel telah memuat naik potongan video daripada lagu Pertama babaknya bersama Sharmaine berada di dalam lif menerusi aplikasi Threads.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi netizen yang kurang senang melihat babak yang mendakwa Syamel merangkul pinggang wanita itu.

Malah, rata-rata netizen berpendapat adegan tersebut kurang sesuai untuk dipertontonkan memandangkan dia berstatus suami orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN