KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu akan menyiasat dakwaan bahawa terdapat penternak ayam mengenakan caj tambahan dalam usaha menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.
Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd. Kia, berkata, berdasarkan invois dikemukakan oleh pemborong, wujud caj tambahan menangkap ayam sebanyak 70 sehingga 75 sen setiap satu kilogram (kg) ayam di peringkat ladang.
Menurut Saharuddin, situasi itu tidak sewajarnya berlaku dengan peladang dan penternak ayam sudah diberikan subsidi oleh kerajaan untuk menampung kos bekalan serta import bahan makanan.
“Disebabkan itu, berlaku kenaikan harga di setiap rantaian di mana pemborong pula mengenakan caj pengangkutan kepada peruncit dan peruncit mengenakan caj memotong ayam, plastik dan air batu kepada pengguna.
“Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini, KPDNHEP akan terus menyiasat perkara ini serta turun padang ke ladang bagi melihat sama ada mereka sudah menerima subsidi atau sebaliknya.
“Pengguna yang terpaksa menanggung kesan buruk ini dan kita minta peniaga mematuhi skim harga maksimum ayam RM8.90/kg sehingga 30 Jun ini,” katanya ketika pemeriksaan mengejut di sebuah kedai borong ayam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sejak 2 Mac lalu, seramai tiga pemborong dan 12 peruncit dikenakan kompaun keseluruhan RM9,000 atas kesalahan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.
Saharuddin berkata, tujuh lagi pemborong kini sedang disiasat atas kesalahan menjalankan perniagaan ayam tanpa lesen serta gagal mengemukakan transaksi jual beli barang kawalan. –UTUSAN ONLINE










