MELAKA: Kadar kebolehpasaran graduan sistem pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) institusi pengajian tinggi (IPT) pada 2021 ialah 94.17 peratus, melonjak sebanyak 1.4 peratus berbanding 92.27 peratus pada 2020.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, peningkatan itu memberikan indikator positif bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga pihak-pihak berkepentingan lain.
Menurutnya, usaha kementerian menggabungkan elemen keusahawanan dan teknikal membolehkan segala perancangan menentukan hala tuju strategik pembangunan graduan, khususnya graduan TVET terus diperkasa.
“Kerajaan sangat komited serta serius untuk terus memperkasakan sektor teknikal, khususnya TVET, ini selaras dengan penekanannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Sebab itu, kementerian telah tetapkan TVET sebagai agenda nasional. Dalam siri lapan lawatan kerja ke luar negara baru-baru ini, saya turut mengambil peluang untuk mempromosikan TVET Malaysia di pentas antarabangsa.
“Ketika di World Education Forum (WEF) 2022 di London baru-baru ini, saya telah berkongsi perspektif Malaysia berkaitan dengan pembangunan pendidikan inovatif termasuklah tentang transformasi TVET,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita 2022 di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh di sini hari ini.
Bercakap mengenai penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan teknikal, Noraini berkata, perniagaan itu telah menyumbang sebanyak RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malah katanya, ia turut membuka peluang kepada hampir 800,000 pencari kerja.
“Jumlah perniagaan milikan wanita di negara ini merangkumi 20.6 peratus atau 186,855 daripada keseluruhan jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
“Jurang gender memperlihatkan Malaysia berada di kedudukan ke-104 daripada 156 buah negara daripada segi penyertaan wanita dalam sektor ekonomi,” jelasnya. – UTUSAN










