KUALA LUMPUR: Syabu disumbat dalam tin makanan untuk pasaran Borneo serta Filipina dan dihantar menggunakan kurier, merupakan modus operandi baharu berjaya ditumpaskan melalui Op Icerya di sekitar Lembah Klang, semalam.
Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan lima individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan empat warga asing termasuk wanita berusia antara 22 hingga 45 tahun.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis merampas 61 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM3.05 juta.
Katanya, sindiket dikesan aktif sejak Mac lalu menggunakan taktik licik membungkus semula dadah ke dalam tin makanan sebelum dihantar ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier.
“Dalam serbuan pertama di Serdang Perdana, Selangor polis merampas 48 tin berisi 30.4kg syabu manakala serbuan susulan di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil menemui 30.6kg dadah jenis sama.
“Operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Sabah serta JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah. Kejayaan ini adalah berdasarkan hasil risikan berterusan JSJN.
“Kita percaya dadah-dadah ini turut diseludup bagi pasaran Filipina kerana harga syabu di sana adalah tiga hingga empat kali ganda lebih mahal berbanding di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Hussein berkata, sindiket didalangi warga Afrika dan kesemua suspek mempunyai peranan khusus bagi memastikan kelancaran aktiviti pengedaran.
Jelasnya, dua suspek bertindak sebagai penghantar (runner) manakala seorang lagi penghantar utama (transporter) serta seorang lagi berperanan koordinator sindiket.
“Kesemua warga asing didapati masuk ke negara ini sejak 2014 menggunakan visa pelajar, namun kita percaya mereka turut menggunakan identiti palsu bagi menjalankan kegiatan ini. Kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Katanya, turut disita dua buah kenderaan iaitu Honda City dan Hyundai Elantra di bawah Akta Dadah Berbahaya
(Pelucuthakan Harta) 1988 yang dianggarkan bernilai RM79,000.
Ujarnya, keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM3.13 juta yang mana untuk kegunaan kira-kira 305,000 penagih.
“Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










