PETALING JAYA: Pendapatan sektor pengguna dijangka terjejas berikutan peningkatan kos operasi, khususnya dalam kalangan pemain industri yang bergantung kepada pembungkusan pengguna, bahan mentah import serta sumber tenaga berasaskan karbon.
Menurut TA Securities, firma itu telah menurunkan unjuran pendapatan bagi syarikat dalam pelbagai sub-sektor pengguna sekitar satu hingga empat peratus bagi tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028
Firma penyelidikan itu berkata, ia turut mencerminkan peningkatan kos pembungkusan, logistik dan tenaga berkaitan diesel.
“Sub-segmen seperti pembungkusan industri, ayam ternakan, bakeri dan minuman berdepan tekanan kenaikan kos paling ketara.
‘Bagi segmen pembungkusan industri, kami menurunkan unjuran pendapatan Scientex Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 hingga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2028 sehingga 4.5 peratus.
“Ini dengan pengurangan andaian hasil segmen pembungkusan pengguna sehingga 2 peratus berikutan lonjakan harga resin polietilena berketumpatan rendah (LDPE) sehingga 33 peratus, bersamaan 8,316 yuan (RM4,817) setiap tan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam segmen ayam ternakan pula, TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan CAB Cakaran Corporation Bhd. dan QL Resources Bhd. bagi tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028 masing-masing sekitar tiga peratus.
“Tahun kewangan CAB Cakaran berakhir pada September, manakala QL Resources berakhir pada Mac.
“Semakan penurunan itu dibuat bagi mengambil kira peningkatan harga bahan mentah seperti kacang soya yang meningkat 7 peratus setakat tahun ini.
“Sementara itu, unjuran pendapatan Leong Hup International Bhd. turut disemak turun, mencerminkan kos overhed pembuatan yang lebih tinggi serta tekanan kos input, khususnya dalam segmen ayam ternakan dan ternakan bersepadu.
“Unjuran pendapatan bagi syarikat seperti Fraser & Neave Holdings Bhd., Farm Fresh Bhd., SDS Group Bhd. dan Nestlé (Malaysia) Bhd. turut diturunkan, susulan kenaikan harga susu tepung penuh krim dan susu tepung skim masing-masing sekitar 17 peratus dan 39 peratus,” jelasnya.
Sehubungan itu, TA Securities menurunkan harga sasaran (TP) Farm Fresh daripada RM3.20 kepada RM3.05, serta TP Nestlé daripada RM128 kepada RM124.60.
Walaupun berdepan cabaran, TA Securities mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan, dengan menyatakan penggunaan domestik kekal berdaya tahan disokong pelarasan gaji, langkah fiskal menerusi Belanjawan 2026 serta permintaan stabil bagi barangan asas. – UTUSAN










