JOHOR BAHRU: Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuktikan rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang turut menerima manfaat daripada hasil pelaburan tinggi direkodkan kerajaan negeri.
Pensyarah Kanan Kewangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Dr. Mohd. Khairul Ariff Noh berkata, inisiatif BKJ merupakan terjemahan keprihatinan kerajaan negeri kepada masyarakat yang sedang dibelenggu isu ekonomi global.
Katanya, tahun lalu Johor merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM110 bilion dengan jangkaan 24,584 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan.
“Dalam konteks pentadbiran negeri, perkembangan ini memperlihatkan dua keutamaan yang berjalan serentak iaitu menarik pelaburan bernilai tinggi untuk mencipta pekerjaan dan memastikan hasil pertumbuhan itu diterjemah kepada bantuan serta kemudahan yang dapat dirasai rakyat.
“Pelaksanaan BKJ turut menjadi sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Johor untuk memulangkan hasil pertumbuhan ekonomi negeri kepada rakyat secara langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Mohd. Khairul Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Adiwangsa universiti berkenaan turut berkata, langkah kerajaan menambah baik proses penyerahan BKJ Fasa Keempat juga menunjukkan suara rakyat sentiasa disantuni kepimpinan.
“Perkara ini penting bagi memastikan bantuan bukan sahaja sampai kepada kumpulan sasar, tetapi dilaksanakan secara lebih teratur, mesra penerima dan mengambil kira keselesaan rakyat khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta penerima uzur.
“Antara langkah penambahbaikan itu termasuklah tempoh penyerahan BKJ dilanjutkan; jumlah kaunter semakan dan bayaran ditambah mengikut nisbah penerima di setiap lokasi serta kaunter khas bagi penerima OKU, uzur dan lain-lain,” katanya.
Pada 5 Mei lalu, Onn Hafiz mengumumkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan BKJ fasa keempat dengan peruntukan keseluruhan RM138 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 600,000 rakyat negeri ini.
Beliau dilaporkan berkata, BKJ fasa keempat ini dirangka berdasarkan maklum balas menyeluruh yang diterima pihaknya daripada rakyat sepanjang pelaksanaan fasa-fasa terdahulu.










