PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 8.88 sen seunit dengan jumlah keseluruhan RM10.6 juta bagi PMB Shariah Growth Fund untuk tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026.
Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad itu berkata, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM1.6676, diselaraskan kepada RM1.5788 selepas agihan.
Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 28 Februari 2026, mewakili hasil sebanyak 5.73 peratus berdasarkan NAB penutup seunit.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, PMB Shariah Growth Fund telah mencatatkan pulangan satu tahun sebanyak 7.55 peratus dan pulangan tiga tahun sebanyak 21.44 peratus setakat 28 Februari 2026, menunjukkan daya tahan melalui pelbagai kitaran pasaran.
“Walaupun kami menyaksikan penyesuaian semula jadi daripada prestasi luar biasa tahun lepas di tengah-tengah keadaan global yang mencabar, asas kami kekal mantap.
“Pendekatan berdisiplin kami berasaskan ekuiti patuh syariah dan peruntukan aset strategik, terus memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti dan penciptaan nilai jangka panjang
untuk pemegang unit kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi PMB Investment ,Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, prestasi pasaran akan sentiasa berubah-ubah, tetapi komitmen syarikat kepada pelabur tidak pernah goyah.
“Pengagihan pendapatan ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan nilai yang konsisten melalui strategi patuh syariah yang berprinsip.
“Seterusnya, kami kekal fokus kepada misi teras kami iaitu memperkasakan pelabur dengan penyelesaian pelaburan yang inovatif dan mudah diakses yang menyokong objektif kewangan jangka panjang mereka dan pada masa sama, mengekalkan standard etika Islam yang tertinggi,” ujarnya.
PMB Shariah Growth Fund mengikuti strategi peruntukan aset yang telus, dengan 80 peratus hingga 99.5 peratus daripada NAB dilaburkan dalam ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti.
Jelasnya, baki selebihnya diperuntukkan kepada instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam, sukuk, dan pelaburan patuh syariah yang dibenarkan.
Portfolio dana ini sentiasa dioptimumkan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi global, serantau, dan domestik.
Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, orang ramai boleh melayari
www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 0341453900. – UTUSAN










