KUALA LUMPUR: Majoriti yang menghadiri Karnival Kerjaya Pemuda BN sejak Jumaat lalu dan berakhir semalam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) adalah terdiri daripada mereka yang diberhentikan kerja sewaktu pandemik Covid-19.
Rata-rata mereka yang hadir dikatakan masih mencari pekerjaan yang bersesuaian dan belum mempunyai pendapatan stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, salah seorang pengunjung, Khairudin Aziudin, 39, dari Petaling Jaya berkata, pekerjaan sebagai pemandu e-hailing yang tidak lumayan memaksa dirinya untuk mencari kerja baharu yang bersesuaian dengannya.
“Enam bulan saya tidak mempunyai pekerjaan tetap berpunca daripada Covid-19. Keadaan ini memaksa saya untuk meneruskan hidup sebagai pemandu e-hailing, namun, pekerjaan ini sahaja tidak cukup untuk saya menyara dua orang anak dan isteri.
“Saya bekerja di sebuah syarikat pembangunan komuniti, 2019 ianya ditubuhkan, cabaran dan halangan ditempuhi mereka akhirnya memberitahu tidak mampu untuk membayar gaji, jadi saya sendiri telah mengambil keputusan untuk keluar dari syarikat itu,” katanya di sini.
Bagi Khairudin, pameran kerjaya itu sangat baik kerana melibatkan pelbagai jenis sektor pekerjaan seperti kewangan, kejuruteraan, perniagaan dan lain lain lagi.
“Orang muda patut mengambil peluang yang ada sekarang untuk hadir ke pameran kerjaya ini kerana dibarisi syarikat besar dan peluang kerjaya terbuka luas, katanya.
Sementara itu, bekas penjawat awam, S. Puvaneswary, 29, dari Kuala Selangor berkata, sejak enam bulan lepas meletakkan jawatan, sekarang adalah masa sesuai mencari kerja kerana anaknya sudah boleh diletakkan bersama pengasuh.
“Saya berhenti dahulu ekoran tempat kerja yang jauh iaitu di Slim River, Perak dan saya tinggal di Kuala Selangor. Anak saya yang masih kecil juga memerlukan lebih masa bersama ibunya, jadi, sekarang sesuai untuk saya mencari kerja.
“Di rumah saya lebih kepada membantu suami dengan perniagaannya, sekarang, dia juga turut mengesyorkan saya mencari kerja ekoran ekonomi sekarang yang tidak menentu dan saya terima pandangannya dan hadir ke sini bersama suami saya,” katanya. – UTUSAN










