Kakak sempat berhubung dengan arwah adiknya 'Lok' sebelum nahas

Kakak sempat berhubung dengan arwah adiknya ‘Lok’ sebelum nahas

SITI JAINAH Basiron (tengah) tidak dapat menahan sebak selepas membuat pengecaman mayat kelima-lima mangsa terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang. - FOTO/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kakak kepada mangsa kemalangan maut kereta bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Kampung Pulau Manis, di sini, sempat berhubung dengan adiknya itu sebelum nahas

Kakak mangsa, Siti Jainah Basiron, 45, berkata, kali terakhir dia berbalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp dengan arwah adiknya, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, pukul 8.21 pagi semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka malah terkejut apabila itu merupakan perbualan terakhir bersama mangsa yang manja dengan panggilan ‘Lok’.

“Saya mengetahui tujuan arwah apabila melihat status WhatsApp menyatakan mahu ke Pahang malam sebelum kejadian. Arwah menyatakan ingin ke Pejabat Tanah di Pekan dan terus ke kampung isterinya yang juga terlibat dalam kemalangan itu di Felda Chini untuk menguruskan hal keluarga.

“Tiada apa yang saya bualkan cuma sempat menasihatinya untuk memandu dengan berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Siti Jainah berkata, selepas kira-kira tujuh jam bermesej dengan adiknya itu, pada pukul 5 petang semalam, dia terkejut dihubungi keluarga dari Perak tentang kemalangan tersebut.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada hari raya pertama Aidilfitri lalu di rumah ibunya di Kuala Kangsar, Perak.

“Terkilan juga memandangkan selalunya kami adik-beradik akan berhubung melalui panggilan video tetapi sejak kebelangan ini masing-masing tidak berbuat demikian.

“Arwah yang merupakan anak ke-10 daripada 13 adik-beradik sangat manja dengan kami semua. Saya antara yang kerap dihubungi memandangkan kakak yang menetap paling jauh, di Kota Tinggi, Johor,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya lagi, lebih menyedihkan, tiada lagi ucapan hari lahir daripada arwah seperti mana yang dilakukannya setiap tahun.

“Hari ini, adalah hari lahir saya… dan dia telah meninggal dunia, memang dia nak saya jumpa dia hari ini. Setiap tahun arwah tidak pernah lupa untuk mengucapkan hari lahir bukan sahaja buat saya malah adik-beradik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Siti Jainah berkata, kelima-lima jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Labu Kubung, Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

“Semua jenazah iaitu adik dan isteri serta anak-anaknya akan disemadikan dalam satu liang lahat,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla dan lori treler jenis Nissan, di Jalan Kuantan-Segamat dekat Stesen Minyak Five, kira-kira pukul 3.17 petang semalam.

Mangsa yang maut pasangan suami isteri, Muhammad Rosli Ibrahim, 33 tahun dan Nor Afikah Abdullah Sani, 35 tahun serra anak mereka, Nur Safwa Irdina, 7, dan Nur Sofea Rajda, 6, serta bayi berusia setahun dua bulan, Rizqy Ramadhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN