Elon Musk bakal terima gaji AS$878 bilion

Elon Musk bakal terima gaji AS$878 bilion

ELON MUSK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk meraih ‘kemenangan besar’ apabila para pemegang saham meluluskan pakej gaji bernilai sehingga AS$878 bilion (RM3.6 trilion) untuk tempoh sedekad akan datang, sekali gus menandakan keyakinan terhadap visinya menjadikan syarikat kenderaan elektrik itu sebagai peneraju bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Susulan pengumuman itu, saham Tesla meningkat kira-kira satu peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran manakala lebih 75 peratus pemegang saham menyokong cadangan tersebut, demikian menurut laporan.

Musk yang muncul di pentas bersama beberapa robot di Austin, Texas berkata, keputusan itu menandakan permulaan baharu buat Tesla.

“Apa yang bakal kita tempuhi bukan sekadar bab baharu dalam kisah Tesla, tetapi sebuah buku baharu sepenuhnya. Ini benar-benar akan menjadi kisah yang luar biasa,” katanya.

Selain meluluskan pakej gaji itu, pemegang saham turut bersetuju mengekalkan tiga ahli lembaga pengarah sedia ada serta menyokong cadangan agar pemilihan semua ahli lembaga diadakan setiap tahun.

Penganalisis menjelaskan, keputusan itu memberi petanda positif kepada saham Tesla memandangkan penilaian syarikat tersebut banyak bergantung kepada visi Musk untuk membangunkan kenderaan pandu sendiri, memperluas perkhidmatan teksi autonomi di Amerika Syarikat (AS) serta menjual robot humanoid.

Walaupun Musk dikritik kerana retorik politiknya yang condong ke sayap kanan dan menjejaskan imej Tesla, kemenangan beliau tetap dijangka memandangkan kini beliau bebas menggunakan hak undi penuh terhadap kira-kira 15 peratus pegangan sahamnya selepas Tesla berpindah ke Texas daripada Delaware.

Kelulusan pakej itu dicapai meskipun menerima tentangan daripada beberapa pelabur utama termasuk dana kekayaan negara Norway.

Tesla sebelum ini memberi amaran Musk mungkin me­ninggalkan sya­rikat ­ji­ka pakej ter­sebut ti­dak dilu­luskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN