KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini tidak membincangkan kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin yang menjadi pertikaian selepas mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran LIMA ’23 di Wisma Pertahanan di sini.
“Tidak dibincangkan,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut membincangkan soal kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Zuraida dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bersedia meletakkan jawatan sebagai menteri selepas membuat keputusan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Keputusan mengejut Zuraida menyaksikan beliau melompat parti dua kali sejak bersama PKR, kemudian menyertai Bersatu dan kini dengan PBM.
Bagaimanapun, Ismail Sabri sebelum ini memaklumkan, kedudukan Zuraida dalam Kabinet hanya ditentukan selepas perbincangan bersama diadakan. – UTUSAN