PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Soong Joo Ven membuka tirai perlawanan Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2022, dengan kemenangan meskipun terpaksa menempuh cabaran sengit lawannya dari India, Kartikey Gulshan Kumar.
Joo Ven memenangi perlawanan itu dengan keputusan 21-16, 9-21, 21-14 dalam peringkat kelayakan perseorangan lelaki yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.
Lebih membanggakan, Joo Ven yang turun kali kedua beberapa jam selepas perlawanan pertamanya itu sekali lagi melakar kejayaan ke atas peserta dari Azerbaijan, Ade Resky Dwicahyo dengan kemenangan mudah, 21-15, 21-11.
“Saya sangat lega dengan permainan hari ini, sebab jadual saya sangat ketat. Selepas bermain dalam pusingan pertama tadi, saya terus buat persediaan untuk perlawanan kedua.
“Secara keseluruhan, saya gembira saya berjaya harungi kedua-dua perlawanan. Saya akan buat yang terbaik untuk perlawanan esok (hari ini),” katanya.

Turut menyertai Joo Ven ialah beregu campuran muda kebangsaan, Choong Hon Jian-Peck Yen Wei yang berjaya menundukkan pasangan Perancis, William Villeger-Anne Tran dengan keputusan 22-20, 21-18.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila mudah menjinakkan pasangan Perancis, Margot Lambert-Anne Tran 21-13 21-18.

Tidak ketinggalan satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berjaya mengetepikan Julie Finne Ipsen-Mai Surrow 21-17 21-7.- UTUSAN ONLINE










