PETALING JAYA: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir Jun 2026, disokong oleh keuntungan tinggi daripada jualan tanah di Melaka serta sumbangan yang lebih baik daripada aset hartanah pelaburannya.
CGS International berkata, bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, keuntungan bersih teras IOIPG melonjak kepada RM260.6 juta, meningkat 30 peratus suku ke suku dan 135 peratus tahun ke tahun, dengan hasil mencecah RM1.05 bilion, naik 39 peratus tahun ke tahun.
“Prestasi tersebut menjadikan keuntungan bersih teras terkumpul sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 meningkat 122 peratus tahun ke tahun kepada RM623.5 juta, bersamaan 78 peratus daripada unjuran FY26 dan 88 peratus daripada anggaran konsensus Bloomberg, sekali gus mengatasi jangkaan pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut penganalisis, prestasi lebih baik itu didorong oleh margin keuntungan yang lebih tinggi daripada jualan tanah di Melaka.
“Transaksi yang diperoleh pada tahun kewangan 2024 itu menyumbang hasil sebanyak RM130 juta dan keuntungan operasi (EBIT) sebanyak RM119 juta, mewakili margin sekitar 90 peratus jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal sebanyak 70 peratus.
“Selain itu, pertumbuhan keuntungan turut disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada IOI Central Boulevard Towers (ICBT) di Singapura serta aset South Beach yang telah disatukan ke dalam penyata kewangan kumpulan,” katanya.
Menurut CGS International, tidak termasuk jualan tanah, IOIPG merekodkan jualan hartanah sebanyak RM1.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, meningkat 20 peratus tahun ke tahun.
“Pihak pengurusan yakin kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan hartanah Malaysia sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh pelancaran projek baharu yang berterusan.
“Pada masa sama, syarikat melihat potensi untuk merealisasikan lebih banyak jualan tanah berskala besar menerusi taman perindustrian yang sedang dibangunkan di Banting, Kulai dan Melaka, sekali gus membuka nilai tambahan kepada bank tanah kumpulan,” katanya.
Susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan, unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028 telah dinaikkan antara empat peratus hingga enam peratus,mengambil kira pelarasan masa pengiktirafan jualan tanah dan andaian margin keuntungan yang lebih tinggi.
“Seiring itu, sasaran harga (TP) saham IOIPG dinaikkan kepada RM4.51 sesaham berbanding sebelum ini, berdasarkan diskaun RNAV yang lebih sempit sebanyak 20 peratus.
“Bagaimanapun, penarafan saham diturunkan daripada “Add” kepada “Hold” selepas harga saham syarikat melonjak 59 peratus sejak awal tahun sehingga 28 Mei 2026,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, kenaikan itu telah meningkatkan penilaian saham kepada nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) FY26 sebanyak 0.9 kali, jauh lebih tinggi berbanding purata sejarah 10 tahun sekitar 0.4 kali.
“Antara pemangkin kenaikan yang berpotensi ialah penilaian REIT yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kejayaan penyenaraian REIT Singapura lebih awal, selain peningkatan jualan projek W Residences.
“Sementara itu, risiko utama termasuk penilaian REIT yang lebih rendah serta dasar perumahan yang kurang menggalakkan di Malaysia dan Singapura,” katanya.-UTUSAN










