Jason Lo bebas tuduhan dadah

Jason Lo bebas tuduhan dadah

JASON Lo dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memasukkan dadah dalam badan jenis Amphetamine dan Methamphetamine tiga tahun lalu. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan, Jason Jonathan Lo atau lebih dikenali sebagai Jason Lo dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada tuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya, tiga tahun lalu. 

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif memutuskan untuk tidak memanggil Jason untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie. Mahkamah turut memerintahkan agar wang jaminan dikembalikan.

“Hari ini ditetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan dan kamu dipertuduhkan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Mahkamah ini telah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukakan dan melakukan satu penelitian maksima atas hujah kedua-dua pihak. 

“Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu kamu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan kamu dipulangkan. Alasan penghakiman akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” kata Mohamad Fared.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam bela, Datuk Hariharan Tara Singh.

Jason,47, sebelum ini dituduh  memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan pada pukul 5.15 petang, 15 November 2019 di tandas Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Jalan Travers di sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan wajib diletakkan bawah pengawasan tidak kurang dua tahun dan atau tidak melebihi tiga tahun.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, Jason berterima kasih kepada pasukan peguam yang telah bekerja keras sepanjang kes ini berjalan dan bersyukur keadilan berpihak pada dirinya. 

Pada 13 Mei lalu, pihak pendakwaan telah menutup kes itu selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Sepanjang perbicaraan kes itu bermula pada 6 April 2021, antara saksi-saksi yang dipanggil ialah pegawai kimia dan pegawai penyiasat serta pegawai yang menjalankan saringan ujian air kencing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya