GEORGETOWN: Isu melibatkan larangan umat Islam menyertai Festival Bon Odori tidak harus dipolitikkan kerana ia berkaitan dengan akidah umat Islam.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, umat Islam perlu menghormati keputusan mufti serta pihak berkuasa agama yang mempunyai fakta dan maklumat yang tepat dalam isu itu sebelum menggadaikan prinsip beragama hanya kerana kepentingan agenda politik.
”Pas Pulau Pinang menyokong saranan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang dan pihak berkuasa agama mengenai hukum menyertai Festival Bon Odori bagi umat Islam yang akan berlangsung pada 16 Julai ini di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam Selangor.
”Pas Pulau Pinang turut menegaskan isu ini tidak harus dipolitikkan kerana ia melibatkan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program Festival Bon Odori mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor juga menasihatkan umat Islam mengelak terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik.
Festival Bon Odori juga bakal dianjurkan di Pulau Pinang pada 30 Julai ini di Esplande dan merupakan antara acara tahunan yang diadakan di negeri ini.
Festival Bon Odori yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.
Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.
Menurut Muhammad Fauzi, Islam melarang sebarang perayaan yang berunsur agama lain serta haram bagi umat Islam meraikannya bahkan wajib dihindari bagi kemaslahatan agama.
”Islam menghormati kebebasan beragama semua pihak, namun kita juga diwajibkan mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah,” katanya. –UTUSAN ONLINE










