Jabatan Peguam Negara sedia draf pindaan RUU mansuh hukuman mati - Utusan Malaysia

Jabatan Peguam Negara sedia draf pindaan RUU mansuh hukuman mati

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf pindaan Rang Undang Undang (RUU) memansuhkan hukuman mati mandatori akan disediakan pihak Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jabatan berkenaan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) diminta mengkaji dan meneliti syor-syor yang dikemukakan selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan.

Beliau berkata, keputusan itu susulan satu perjumpaan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 20 Jun lalu.

“Kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun.

“Dalam masa sama, sesi libat urus turut diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai perkara ini sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata, kerajaan berterima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam perkara ini dan berharap RUU ini dapat dilaksanakan serta dikuatkuasakan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.

Awal bulan ini, Wan Junaidi memaklumkan persetujuan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori, susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Susulan pengumuman itu, semua pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan akhir ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN