YANGON: Bekas presiden Myanmar, Win Myint, yang ditahan sejak rampasan kuasa 2021, diberikan pengampunan terhadap sabitan kesalahannya dalam tempoh pemerintahan tentera.
Myint berkhidmat sebagai presiden bermula pada 2018 ketika Myanmar sedang melalui tempoh percubaan pemerintahan awam selama sedekad yang kemudian terhenti secara tiba-tiba akibat rampasan kuasa.
“Presiden memberi pengampunan kepada Win Myint,” menurut kenyataan daripada pejabat Presiden Min Aung Hlaing, yang mengarahkan rampasan kuasa dan membawa kepada penahanan bermotif politik terhadap Myint.
Ketika memegang jawatan tertinggi itu, peranannya adalah lebih bersifat simbolik dengan kuasa sebenar berada di tangan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi, yang tidak dibenarkan memegang jawatan tersebut di bawah perlembagaan digubal oleh tentera.
Suu Kyi, penerima Hadiah Nobel Keamanan yang berusia lebih 80 tahun, masih ditahan dan sedang menjalani hukuman penjara 27 tahun yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai bermotifkan politik.
Tidak dapat dipastikan sama ada Myint akan dibebaskan daripada tahanan.
Selepas lima tahun mengetuai angkatan tentera, Aung Hlaing dilantik minggu lalu sebagai pemimpin awam. Pemerhati demokrasi menganggap pelantikan beliau sekadar penjenamaa semula pemerintahan tentera.
Perubahan itu disertai dengan pengurangan beberapa tindakan keras yang diperkenalkan selepas rampasan kuasa, langkah disifatkan junta sebagai usaha perdamaian, namun dikritik sekadar kosmetik bagi tujuan penjenamaan semula.
Semalam, Aung Hlaing turut meringankan semua hukuman mati dan mengarahkan pembebasan lebih 4,300 tahanan melalui pengampunan sempena sambutan Tahun Baharu Myanmar.
Namun, pengampunan terhadap Myint dilihat sebagai langkah paling ketara setakat ini untuk meredakan ketegangan politik di negara itu.- AFP










