Pagar keselamatan Malaysia-Thailand dinaik taraf

Pagar keselamatan Malaysia-Thailand dinaik taraf

HAMPIR keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia Thailand khususnya di negeri ini yang uzur, berlubang dan rosak dikhuatiri memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pagar keselamatan Malaysia-Thailand sepanjang 110.7 kilometer (KM) bermula dari Kuala Perlis sehingga ke kawasan sempadan di Perak akan dinaik taraf bagi menangani isu pencerobohan.

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, proses naik taraf pagar keselamatan Malaysia-Thailand telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM327 juta.

Katanya, perkembangan tersebut dimaklumkan menerusi sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, sekali gus menjadi permulaan yang baik dalam memastikan aspek kawalan di sempadan negara lebih kukuh selepas ini.

“Kerja-kerja fizikal naik taraf pagar keselamatan berkenaan akan bermula di kawasan sempadan Perlis bermula tahun ini. Kebanyakan pagar keselamatan sempadan terutama di Perlis berada dalam keadaan mendesak akibat reput dan uzur.

“Pagar keselamatan di sempadan Perlis antaranya berusia lebih 20 tahun dan keadaan pagar berkenaan yang uzur memudahkan sempadan dibolosi, sekali gus turut mengundang ancaman kepada negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Rushdan, panjang jarak sempadan dari Perlis sehingga Kelantan adalah lebih kurang 658 KM dan menunjukkan peruntukan diumumkan itu masih tidak dapat menyelesaikan semua kawasan, namun setidaknya ia satu permulaan yang baik.

Difahamkan dalam tahun ini, tambah beliau, kerja-kerja fizikal naik taraf pagar itu akan bermula dan dalam masa sama, kelulusan peruntukan sebanyak RM20 juga disediakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 5 bagi penyediaan air bersih buat anggota bertugas di sempadan untuk fasa pertama.

Sebelum ini, laporan muka depan Utusan Malaysia membangkitkan mengenai keadaan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di negeri ini yang uzur dan usang memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah laluan di sepanjang 98.2 km kawasan sempadan di Perlis terutama dari Chuping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis. Sepanjang 45km daripada garisan sempadan itu pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal.

Kebanyakan pagar sempadan di sekitar negeri juga sudah berusia lebih 20 tahun yang sudah tiba masanya digantikan dan memerlukan penambahbaikan segera.

Rushdan berkata, proses naik taraf pagar atau terus digantikan dengan tembok konkrit sememangnya amat diperlukan serta dinantikan oleh anggota keselamatan bagi memastikan kedaulatan negara dapat terus terpelihara.

“Pagar sedia ada sudah reput, ada yang boleh dipotong dan ditembusi dengan mudah. Langkah menaik taraf pagar ke tembok konkrit memang amat penting kerana laluan berkenaan merupakan antara lokasi tumpuan bagi aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia–Thailand.

“Pembinaan tembok konkrit dilihat merupakan aspek penting dalam mengukuhkan kawalan sempadan negara termasuk dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitarnya. Tindakan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan di sempadan dapat terus diperkukuh dan kebajikan anggota keselamatan dijaga dengan baik.

“Kalau kita tidak jaga kebajikan anggota keselamatan, bagaimana mereka hendak jaga sempadan negara. Disebabkan itu perkara seperti ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, keseluruhan pagar keselamatan sekitar negeri ini akan digantikan dan dinaik taraf dengan reka bentuk lebih baik dalam membantu mengekang sebarang aktiviti jenayah sempadan.

Katanya, pagar dawai dan tembok sedia ada sememangnya berada dalam keadaan sangat uzur dan memerlukan kepada proses naik taraf.

“Dianggarkan jarak sempadan di negeri ini yang tidak berpagar adalah lebih kurang 30km membabitkan kawasan berbukit dan hutan, manakala kawasan berpagar pula sepanjang kira-kira 40km,” katanya.

Muhammad berkata, pagar keselamatan sedia ada yang usang sememangnya membantu dan memudahkan sindiket penyeludupan melakukan kegiatan itu tanpa dapat dihidu pihak berkuasa.

Katanya, ada di antara pagar keselamatan sedia ada telah ditebuk penjenayah dijadikan sebagai laluan tikus dan pihaknya terpaksa menutup sementara laluan berkenaan dengan menggunakan penghadang atau zink.

“Pagar sedia ada sebelum ini memudahkan penjenayah dan sindiket untuk lolos jadi dengan proses naik taraf ini, ia sedikit sebanyak membantu dalam penugasan kawalan keselamatan. Saya juga difahamkan pembinaan tersebut selepas ini akan bersekali dengan pemasangan CCTV di kawasan terlibat.

“Langkah ini akan mengukuhkan lagi aspek kawalan dan membantu anggota keselamatan melaksanakan tugas pemantauan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN