PETALING JAYA: Selangor FC boleh dikatakan tempang berikutan terpaksa turun tanpa dua figura penting pasukan iaitu ketua jurulatih, Kim Pan Gon dan peledak utama, Chrigor Moraes menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia berdepan Kuching City di Stadium Negeri, malam ini.
Begitupun, Gergasi Merah bertekad menebus kekecewaan selepas gagal mara ke final Piala FA dengan menjanji pentas Piala Malaysia sebagai kebangkitan.
Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, kegagalan sebelum ini diharapkan menjadi pembakar semangat buat barisan pemain dalam usaha memburu tiket ke final Piala Malaysia.
“Betul, jurulatih tidak dapat bersama pasukan dan semestinya ini menjadi cabaran buat pasukan kami. Namun, kami tidak mahu menjadikannya alasan sebaliknya berusaha mencapai keputusan positif.
“Sebelum ini kita terlepas untuk beraksi di final Piala FA dan kali ini kami berharap pemain dapat memberikan aksi terbaik mereka dalam memburu tiket ke final.
“Pemain sudah melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini dan mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk beraksi di pentas final nanti,” katanya.
Menurutnya lagi, perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri itu dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang untuk mara ke final selepas terikat 1-1 pada aksi pertama.
“Saya menjangkakan peluang perlawanan ini 50-50 sebab kita main di tempat lawan, namun saya berharap pemain dapat menjadikannya sebagai motivasi di mana walaupun kita bermain di tempat lawan, tetap dapat menyerap tekanan dengan baik,” ujarnya.
Sebagai rekod, Selangor FC gagal mara ke final Piala FA selepas tewas kepada Sabah FC 4-5 menerusi penentuan penalti setelah terikat agregat 5-5.-UTUSAN










