Isi Mas Hijau seperti aiskrim

Isi Mas Hijau seperti aiskrim

MOHD. SABRI Majid (kanan) menunjukkan isi Mas Hijau kepada pelanggan di pusat pengumpulan hasil Kampung Damak, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah kegembiraan seorang pekebun, Mohd. Sabri Majid, 50, apabila durian Mas Hijau miliknya mendapat perhatian ramai pelanggan di Kampung Damak, di sini.

Detik hatinya menanam biji durian itu selepas memakan isinya 30 tahun lalu membawa tuah apabila buah berkenaan menjadi durian kampung premium (DKP) terbaik di Pahang dua tahun lalu.

Durian itu dikenali dengan nama Mas Hijau kerana warna isinya yang kekuningan emas dan kulit berwarna hijau mendapat tempat pertama Pertandingan DKP 2020.

Keunikan Mas Hijau adalah mempunyai aroma dan rasa lemak manis, sedikit pahit dengan tekstur isi halus bagaikan aiskrim sehingga menjadi rebutan penggemar raja buah dan pelanggan di sekitar Kampung Damak dan bandar ini.

Namun hanya sebatang pokok Mas Hijau yang ada di kebunnya dan setiap musim, tanaman itu berbuah antara 350 hingga 400 biji.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Sabri berkata, pokok durian itu terus menghasilkan buah yang banyak dan berkualiti pada tahun ini dan dijual dengan harga RM40 sekilogram.

“Permulaannya, saya cuma menanam biji benih spesies itu 30 tahun lalu secara suka-suka selepas saya makan durian kampung diberi seorang rakan dan tertarik dengan ulasnya kekuningan dan isinya sedap.

“Pokok ini mula berbuah lebat sejak 15 tahun lalu dan ia terus mendapat perhatian dan sesiapa sahaja yang pernah makan durian ini pastinya mahukannya lagi,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Sabri, sejak beberapa musim menikmati isi buah itu, dia dan keluarganya mendapati rasanya tidak berubah, iaitu mempunyai kombinasi rasa manis, berlemak dan sedikit pahit.

Tambahnya, isinya yang lembut dan halus dengan warna kekuningan emas pastinya menarik minat sesiapa sahaja khususnya penggemar raja buah itu.

“Saya bersyukur kerana rezeki yang diperoleh selama ini dan tidak menyangka cuma sebiji benih sahaja yang ditanam menghasilkan buah yang bermutu tinggi malah pasaran yang cukup berbaloi apabila hasil jualan mencecah RM3,000 musim ini,” katanya.

Katanya, durian Mas Hijau mula dikenali ramai setelah memenangi pertandingan kategori DPK peringkat daerah anjuran Jabatan Pertanian dua tahun lalu dan kejayaan itu turut mendapat liputan akhbar.

“Sebelum ini, Mas Hijau cuma dikenali oleh penduduk Kampung Damak, Ulu Cheka dan Batu Balai. Kini setiap kali musim buah durian ini mendapat pasaran yang baik pelanggan sekitar kampung,” katanya.

Jelasnya, selain pokok tunggal Mas Hijau, dia menanam durian Kucing Tidur, Kanjau dan Tangkai Panjang yang juga berbuah lebat dan memperoleh pendapatan lumayan tahun ini.

“Mas Hijau mendapat permintaan tinggi bagi mereka yang pernah menikmati isinya dan penggemar durian mengakui klon ini mempunyai keunikan tersendiri berbanding dengan yang lain.

“Saya juga menyemai hampir 1,500 benih Mas Hijau di tapak nurseri berdekatan rumah untuk dijual dengan harga RM40 sebatang anak pokok (benih),” katanya.

Orang ramai khususnya pekebun yang berhasrat untuk mencuba tanaman klon Mas Hijau boleh menghubungi Mohd. Sabri Majid di talian 01155051637. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.