RISE Educator Award kembali dengan dana lebih RM100,000

RISE Educator Award kembali dengan dana lebih RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersempena sambutan Hari Guru, RISE Educator Award anjuran Taylor’s College kembali untuk edisi keenam, sekali gus memperkukuh komitmen dalam mengiktiraf guru yang melangkaui tanggungjawab di bilik darjah bagi membentuk masa depan pelajar dan komuniti.

Bertemakan “Meraikan Guru di Sebalik Masa Depan Bersama”, edisi 2026 menekankan peranan penting guru dalam memperkasa pendidikan yang lebih inklusif, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Dengan jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM100,000, anugerah ini memberi penghargaan kepada guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengajaran, inovasi dalam amalan pendidikan, serta komitmen berterusan dalam memberi impak yang bermakna.

Anugerah ini terbuka kepada guru daripada sekolah kebangsaan, swasta dan antarabangsa merangkumi peringkat prasekolah, rendah dan menengah. Tahun ini, skop penyertaan turut diperluas kepada pusat pendidikan alternatif yang menyokong kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan.

Pencalonan dibuka dari 15 Mei hingga 30 Jun 2026, dan orang ramai dijemput menghantar pencalonan dalam bentuk penulisan 100 hingga 500 patah perkataan yang memperincikan sumbangan bermakna seorang guru.

Setiap pencalonan perlu merangkumi empat elemen utama iaitu cabaran yang dihadapi, tindakan yang diambil, hasil yang dicapai serta impak jangka panjang terhadap pelajar atau komuniti.

“Hari ini, kemajuan pendidikan banyak digerakkan oleh guru di lapangan yang sentiasa mencari pendekatan baharu bagi memastikan pembelajaran kekal inklusif dan relevan,” kata Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College.

“Sambutan Hari Guru di Malaysia mengingatkan kita tentang peranan besar pendidik bukan sahaja di bilik darjah, malah dalam membentuk masa depan masyarakat. Melalui RISE Educator Award, kami berhasrat untuk mengiktiraf dan memperkasa usaha ini, di samping menyokong agenda memperkukuh kualiti serta ekuiti pendidikan di Malaysia.”

“Kini memasuki tahun keenam, inisiatif ini membuktikan bahawa usaha kecil yang digerakkan oleh guru mampu mencetuskan perubahan bermakna apabila diberikan sokongan dan pengiktirafan yang sewajarnya,” tambah beliau.

Salah satu contoh ialah penerima anugerah tahun lalu, Stefanus Lucas, guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu, yang telah mengubah pendekatan pembelajaran muzik bagi pelajar bermasalah pendengaran.

Melalui tajaan berjumlah RM50,000 yang diterima menerusi RISE Educator Award, beliau membina Bilik Muzik Inklusif pertama di Sabah untuk pelajar kurang upaya pendengaran. Beliau mewujudkan satu persekitaran pembelajaran yang menggunakan ritma, getaran dan isyarat visual.

Daripada usaha kecil yang serba sederhana, inisiatif ini kini berkembang menjadi program berstruktur yang melibatkan lebih 40 pelajar, malah sebahagiannya telah membuat persembahan di peringkat awam dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Hal ini membuktikan bagaimana inovasi inklusif yang diterajui guru mampu membuka peluang pembelajaran baharu.

Tonton perjalanan Stefanus Lucas serta transformasi Bilik Muzik Inklusif di sini.

Kisah seperti Stefanus menjadi inti pati utama yang ingin diketengahkan melalui RISE Educator Award setiap tahun. Daripada keseluruhan pencalonan, lima guru akan disenarai pendek untuk penilaian panel juri, sebelum turut dibuka untuk undian awam. Pemenang akhir akan ditentukan melalui gabungan penilaian 75% juri dan 25% undian awam.

Panel juri akan menghimpunkan perspektif institusi dan akar umbi, termasuk penerima terdahulu seperti Stefanus Lucas, bagi mengenal pasti guru yang menunjukkan impak yang nyata dan boleh diukur. Usaha ini turut menyokong aspirasi nasional dalam memperkukuh kualiti serta keterangkuman pendidikan di Malaysia.

Sejak tahun 2021, Taylor’s College telah menganugerahkan lebih RM36,000 kepada 18 orang guru serta RM200,000 kepada 16 buah sekolah di seluruh Malaysia, bagi menyokong inisiatif yang diterajui guru dalam memperkaya pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif dan bermakna.

Maklumat lanjut mengenai RISE Educator Award 2026 boleh didapati di laman web Taylor’s College di sini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN