Saya pernah makan sisa buangan untuk bertahan hidup - Saiful Apek - Utusan Malaysia

Saya pernah makan sisa buangan untuk bertahan hidup – Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan pelawak, Saiful Apek, 57, terharu apabila perkongsiannya dalam di aplikasi Threads dapat menyentuh hati orang ramai terutama anak muda yang sedang bergelut dengan tekanan hidup.

Apek atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata perkongsian nasihat itu dirasakan sebagai satu tanggungjawab sosial yang selari dengan matlamat asalnya sebagai penghibur iaitu untuk membahagiakan orang lain.

“Saya bukan mengejar penghargaan, namun saya rasa tugas menggembirakan orang sangat dekat dengan jiwa saya. Cuma kali ini, pendekatannya bukan lagi menerusi komedi, sebaliknya lebih kepada kematangan usia.

“Pada awalnya, saya juga ragu-ragu sama ada suara seorang pelawak seperti saya akan didengari atau tidak. Namun, saya terkejut apabila ramai yang menerimanya dengan hati terbuka dan positif,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Nasyid Friday di Ruang, Shah Alam, semalam.

Tambah pelakon filem Duyung itu, dia kerap menerima mesej peribadi (DM) daripada pengikut yang berdepan masalah kritikal, termasuklah keinginan membunuh diri dan mahu melarikan diri daripada keluarga.

“Ada yang meluahkan rasa penat dan putus asa. Saya katakan kepada mereka, jika rasa penat, sebenarnya itu bukan jiwa yang penat, tetapi mungkin fizikal atau jantung yang kepenatan.

“Kadangkala saya risau juga sekiranya kata-kata saya terlalu berat untuk mereka, namun realitinya masalah yang mereka hadapi memang mengejutkan” jelasnya.

Mengulas mengenai keperitan hidupnya sendiri, Apek menegaskan bahawa segala motivasi yang ditulis adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang melalui kesukaran hidup termasuklah bergelar gelandangan.

“Saiful Apek tidak dibina dalam masa sehari. Apa yang mereka lalui sekarang adalah diri saya suatu ketika dahulu. Saya pernah dihina, difitnah, malah sampai ke tahap makan sisa buangan orang untuk bertahan hidup.

“Saya mahu hantaran itu menjadi ‘tamparan’ agar mereka sedar dan mula
mengambil langkah kecil untuk bangkit semula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Apek bakal terlibat dalam projek Nasyid Friday anjuran pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan.

Projek kerohanian yang dijadualkan berlangsung bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 itu turut membabitkan tujuh lagi penyanyi dan kumpulan nasyid termasuk Aniq Muhai, Kumpulan One Path, Rabithah, dan Autotune Band. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN