'Ini bukan kedai kopi atau mesyuarat MT UMNO'

Ini bukan kedai kopi atau mesyuarat MT UMNO, pendakwa raya tegur Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditegur pasukan pendakwaan bahawa beliau bukan berada dalam kedai kopi atau mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas, dilihat kerap mengelak daripada memberi jawapan secara spesifik ketika disoal balas pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membuat teguran tersebut selepas Presiden UMNO itu berulang kali tidak menjawab soalan secara khusus sebaliknya memberi penjelasan meskipun tidak diminta berbuat demikian.

Beliau turut menasihatkan bekas Timbalan Perdana Menteri supaya berhati-hati dan menjaga cara pertuturan kerana beliau kini dibicarakan di mahkamah.

“Hati-hati Datuk Seri. Datuk Seri dalam mahkamah ye, bukan dekat kedai kopi, bukan dekat Majlis Tertinggi, saya mengingatkan Datuk Seri kerana saya pegawai mahkamah,” ujarnya pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum itu, Raja Rozela bertanyakan sama ada Ahmad Zahid bersetuju bahawa bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly tidak boleh `menyentuh’ akaun simpanan tetap di Tetuan Lewis & Co.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu akhirnya menjawab `setuju’ selepas beberapa kali Raja Rozela menegurnya supaya menjawabnya secara khusus.

Raja Rozela kemudian mengucapkan `Thank You Very Much Datuk Seri’ dan dibalas oleh Ahmad Zahid `Thank You to you too’.

Sebelum itu, Raja Rozela turut menegur Ahmad Zahid apabila beliau berkali-kali mengelak untuk menjawab soalan secara khusus berkenaan dana Yayasan Akalbudi yang dipindahkan ke akaun simpanan tetap Tetuan Lewis & Co.

Raja Rozela sekali lagi menegurnya supaya menghormati mahkamah serta menjawab soalan dan hanya membuat penjelasan jika diminta berbuat demikian.

“Saya dan peguam-peguam Datuk Seri adalah pegawai mahkamah. Kami menjalankan tugas dan saya minta sangat-sangat Datuk Seri tolong lah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini (mahkamah),” tegas Raja Rozela.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan bangun dan menyatakan anak guamnya perlu diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.

Hakim Datuk Collin Sequerah kemudian berkata, pendakwaan berpandangan sedemikian kerana Ahmad Zahid tidak menjawab soalan secara spesifik, sebaliknya memberikan penjelasan.

“Kadangkala saksi diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, tetapi apabila ditanya sama ada saksi setuju atau tidak, saksi hanya perlu menjawab sama ada setuju atau tidak,” kata Hakim Collin.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Ahmad Zahid berkata, keputusan Yayasan Akalbudi untuk membuat pelaburan RM10 juta dalam syarikat membekal arang batu di Indonesia tidak direkodkan dalam resolusi disebabkan oleh kesilapan setiausaha syarikat.

Menurut tertuduh, sebelum resolusi berhubung pelaburan itu disediakan, beliau mengadakan perbincangan dengan dua pemegang amanah yayasan mengenai pelaburan berkenaan.

Ketika menjawab soalan Raja Rozela yang mencadangkan bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan berhubung pelaburan RM10 juta itu, Ahmad Zahid menjawab, “Ia kesilapan setiausaha syarikat”.

Ahmad Zahid sebelum itu disoal balas mengenai pemberian cek RM10 juta oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat kontraktor Armada Holdings Sdn. Bhd. bagi membekal arang batu untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya