KUALA SELANGOR: Hutan paya bakau mempunyai kadar serapan karbon dioksida lima kali ganda lebih tinggi berbanding hutan hujan, namun tidak ramai tahu keluasannya kini tinggal kira-kira 50 peratus sejak negara merdeka.
Sehingga penghujung 2010 Malaysia dikatakan mempunyai keluasan hutan paya bakau kira-kira 620,000 hektar termasuk 100,000 hektar kawasan yang tidak dilindungi.
Keluasan hutan itu sejak pra-kemerdekaan yang merupakan antara tertinggi di dunia berkurangan sedikit demi sedikit sehingga kini dan rantau ini dibimbangi tidak mampu menahan perubahan iklim pada masa akan datang.
Demikian antara cabaran yang perlu dihadapi rakyat Malaysia apabila negara terus berhadapan pembersihan hutan untuk pembangunan dan pembalakan lebih-lebih lagi ketika negara memasuki fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Wan Kamal Mujani berkata, perlu wujud kerjasama antara pihak berwajib termasuk agensi alam sekitar dan universiti sebelum pembangunan dilaksanakan.
“Perkara yang perlu diambil kira adalah kepentingan hutan paya bakau untuk menyerap karbon (diosida) sebab itu kelebihannya. Karbon disimpan berjuta tahun akan terbebas semula jika diratakan hutan tersebut yang sepatutnya membantu kita menghadapi perubahan iklim.
“Daripada hutan pokok bakau menjadi penyerap karbon terunggul yang berpotensi, terus jadi penyumbang karbon yang sangat ekstrim. Itu bercanggah dengan hasrat negara untuk bantu dunia. Kita antara tertinggi di dunia dengan keluasan hutan bakau dan biodiversitinya sebelum itu,” katanya.
Tanaman pokok
Beliau berkata demikian dalam pelancaran program tanaman pokok bakau menerusi Inisiatif Konservasi Pokok Bakau CIMB – UKM di Taman Alam Kuala Selangor yang disertai 200 sukarelawan di sini semalam.
Menerusi program tersebut, sebanyak 700 anak pokok bakau akan ditanam di kawasan seluas kira-kira 95 hektar di taman konservasi alam sekitar itu menerusi kerjasama Yayasan CIMB dan UKM yang bermula sejak 2019.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank, Rafe Haneef berkata, CIMB menyalurkan dana RM380,000 kepada UKM untuk melaksanakan penyelidikan dan pemuliharaan hutan paya bakau termasuk penanaman 700 anak pokoknya.
Katanya, pelaksanaan pemuliharaan tanaman pokok bakau menjadi sebahagian daripada teras Yayasan CIMB di bawah pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar atau dipanggil sebagai kemampanan alam sekitar.
“Menjaga hutan paya bakau membolehkan penyerapan karbon dioksida yang tinggi dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam menghadapi perubahan iklim di Malaysia.
“Sebab itulah penting untuk kita menjaga hutan bakau di negara ini dan melakukan usaha menanam semula bagi mengurangkan masalah perubahan iklim yang melanda,” kata Rafe.- UTUSAN










