PETALING JAYA: Sebanyak 1.8 juta hingga 2 juta kenderaan menggunakan lebuh raya bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti sekolah.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia berikutan jumlah trafik yang tinggi direkodkan pada hari Jumaat dan Sabtu yang lalu.

“Oleh yang demikian, PLUS menasihatkan agar pengguna memandu dengan berhati-hati dan sabar serta mematuhi peraturan lalulintas memandangkan jumlah kenderaan yang tinggi di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan beberapa perkara memastikan baki mencukupi dalam kad Touch ‘n Go mahupun Touch ‘n Go e-wallet supaya tidak mengalami kesesakan di lorong tol.
“Rehat setiap dua jam di R&R berdekatan, mahupun di hentian sebelah serta plaza tol yang berhampiran. Rancang perjalanan dengan aplikasi PLUS dan WAZE atau Google Map.
“Jangkakan masa perjalanan yang lebih lama untuk sampai ke destinasi, oleh itu pastikan keselesaan ahli keluarga sebelum memulakan perjalanan pulang,” katanya. – UTUSAN










